Sistem Parol bantu kurangkan kadar jenayah berulang - Ahmad Zahid

Hamzah Hamid
Oktober 4, 2015 15:43 MYT
AHMAD ZAHID: Masyarakat perlu membuang persepsi negatif yang sering dilemparkan kepada golongan banduan dan bekas banduan.
Pelaksanaan Sistem Parol berjaya membantu mengurangkan kadar jenayah berulang sebanyak 7.6 peratus tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pencapaian itu menurutnya suatu contoh terbaik kerana banduan dapat menjalani pelbagai program pemulihan yang membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih baik semasa berada di dalam penjara.
“Ini merupakan kejayaan bahawa di dalam penjara bukan tempat untuk melaksanakan hukuman tetapi yang penting ialah melakukan pemulihan,” kata beliau.
Jelas Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, Sistem Parol memberikan peluang kedua kepada banduan untuk bergaul dengan masyarakat agar tidak dipandang negatif oleh mereka.
“Selain melibatkan pihak polis, sistem itu dilakukan dengan kerjasama beberapa syarikat korporat dan daie (tokoh dakwah) dalam usaha untuk memulihkan banduan.
“Saya menyeru ramai lagi tokoh masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) tampil ke hadapan untuk membantu proses pemulihan yang dilakukan oleh Jabatan Penjara dan Lembaga Parol,” jelas beliau ketika ditemui wartawan di ibu negara pada Ahad.
Melalui pengisian Sistem Parol, banduan boleh memilih antara dua kaedah iaitu sama ada tinggal dengan keluarga ketika menjalani pemulihan atau tinggal di dalam penjara berdasarkan pelepasan secara perintah parol.
Pilihan kedua itu secara tidak langsung membantu mengurangkan kos perbelanjaan penjara.
Terdahulu, ketika muncul dalam sebuah program bual bicara pagi di sebuah stesen televisyen, Ahmad Zahid turut meminta masyarakat membuang persepsi negatif yang sering dilemparkan kepada golongan banduan dan bekas banduan.
Menurutnya, setiap orang mempunyai peluang kedua dan banduan yang berjaya dibimbing ke jalan yang betul seterusnya berjaya menjalani kehidupan lebih baik juga dianggap sebagai aset kepada masa depan negara.
#Ahmad Zahid Hamidi #banduan #jenayah #peluang kedua #penjara #sistem parol