Sistem parkir tanpa tunai: Tangguh guna secara menyeluruh di Perak, kekangan di PBT

Aida Aziz
Oktober 4, 2022 09:40 MYT
Kerajaan negeri memberi kelonggaran dan ruang untuk pihak terbabit menggunakan cara konvensional sebelum sistem parkir tanpa tunai diwajibkan sepenuhnya di Perak. Foto Park@Perak
IPOH: Sasaran untuk mengguna pakai secara menyeluruh sistem parkir tanpa tunai di Perak pada tahun ini belum tercapai susulan kekangan yang ada di beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT).
Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, pada peringkat awal, pihaknya menjangkakan sistem itu boleh digunakan sepenuhnya mulai tahun ini, namun maklum balas daripada PBT menyebabkan ia terpaksa dilanjutkan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri itu berkata, sehubungan itu pihaknya memberi kelonggaran dan ruang untuk pihak terbabit menggunakan cara konvensional, sebelum ia diwajibkan di negeri ini.
"Kita sudah ada PBT yang menggunakan sistem itu termasuk Park@Perak. Sebenarnya ia perlu diguna pakai oleh semua PBT, ia disyorkan begitu.
"Tetapi, ada PBT yang mengambil inisiatif sendiri atau mengikut keadaan semasa, kerana bukan semua tempat macam bandar raya Ipoh, di mana mereka bersedia menerima sistem cashless ini.
"Kalau kita berada di Majlis Daerah Selama contohnya, sistem ini mungkin menjadi satu masalah kepada penduduk.
"Proses untuk penggunaan sistem ini akan dilakukan secara berperingkat mengikut daerah melalui PBT masing-masing.
"Semua PBT ada guna pakai sistem Park@Perak tetapi tidak menyeluruh. Maksudnya, masih ada sistem tiket atau syiling seperti di Teluk Intan," katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita berhubung penyelarasan sistem tersebut di negeri ini.
Ia susulan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sudah mengaplikasi sistem ini di beberapa kawasan, selain warga Ipoh digalakkan memuat turun aplikasi Park@Perak sebagai persediaan pendigitalan sepenuhnya caj pembayaran tempat letak kereta mulai 2024.
Dalam pada itu, Nolee Ashilin berkata, pihaknya memahami keluhan dan kekangan yang dihadapi pihak tertentu berhubung sistem tersebut.
Justeru, katanya, kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya tempoh dua tahun lagi bagi sistem itu diguna pakai sepenuhnya.
"Mungkin mereka yang tinggal di kampung belum lagi sampai ke tahap itu (parkir tanpa tunai), tiada telefon pintar dan sebagainya, kita kena pertimbang perkara itu.
"Dalam masa dua tahun ini kita akan lihat sama ada perkara ini akan diwajibkan terus," katanya lagi.
Terdahulu, Nolee Ashilin hadir menyempurnakan pengumuman kerjasama platform penjualan tiket unik khusus untuk negeri Perak yang dikenali sebagai Perak Box Office.
#parkir tanpa tunai #pbt #Nolee Ashilin Mohammed Radzi #aplikasi Park Perak
;