Sistem panggilan kecemasan baharu NG999 diperkenalkan, ganti MERS999
Bernama
Julai 1, 2024 20:15 MYT
Julai 1, 2024 20:15 MYT
KUALA LUMPUR: Sistem panggilan kecemasan baharu negara, Next Generation Emergency Services (NG999) dilancarkan hari ini bagi menggantikan Malaysian-Emergency Responses 999 (MERS999).
Ringkasan AI
- Sistem panggilan kecemasan baharu NG999 dilancarkan untuk menggantikan MERS999, menggunakan teknologi canggih seperti AI untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan kecemasan.
- Sistem NG999 akan diperluaskan kepada lebih 800 lokasi di seluruh negara, dua kali ganda daripada MERS999, dan akan beroperasi selewat-lewatnya tahun depan.
- TM akan memperkenalkan aplikasi NG999 yang membolehkan penggunaan teks, foto, dan video untuk komunikasi lebih baik antara pemanggil dan petugas bantuan kecemasan.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata NG999 adalah sistem digital strategik bersepadu yang akan meningkatkan perkongsian sumber dan data antara pusat panggilan kecemasan dan agensi pusat berkaitan, sekali gus meningkatkan kecekapan perkhidmatan kecemasan.
"Tempoh konsesi sepanjang 12 tahun. (Dalam tempoh ini) 1 tahun adalah untuk fasa pembangunan dan 11 tahun untuk mengurus perkhidmatan. NG999 juga memanfaatkan teknologi canggih termasuk analisis data dan kecerdasan buatan (AI) untuk menyampaikan bantuan kecemasan dengan lebih berkesan.
"Sistem panggilan kecemasan baharu ini dijangka beroperasi selewat-lewatnya tahun depan," katanya pada sidang media selepas menyaksikan pertukaran nota perjanjian NG999 antara Kementerian Komunikasi dan TM di sini hari ini.
Perjanjian baharu antara kerajaan dan TM itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim.
Teo berkata sistem baharu ini menyepadukan peta digital berasaskan web, ID pemanggil, perkhidmatan geolokasi, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi pintar mudah alih ke dalam pengendalian insiden kecemasan yang bakal memberikan bantuan yang lebih cekap di seluruh negara.
Beliau berkata sistem NG999 akan diperluaskan kepada lebih 800 lokasi seluruh negara iaitu peningkatan sebanyak dua kali ganda daripada jumlah lokasi di bawah MERS999 sedia ada.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Amar Huzaimi Md Deris berkata TM juga akan memperkenalkan aplikasi baharu untuk NG999 yang membolehkan penggunaan teks, foto, dan video untuk pengguna berdaftar.
"Ini akan meningkatkan mutu komunikasi antara pemanggil dengan petugas bantuan kecemasan, yang sekali gus mempercepat saluran perkhidmatan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Teo memaklumkan MERS999 telah menerima kira-kira 15,000 hingga 16,000 panggilan palsu setiap bulan, setakat bulan lalu.
"Sebenanrnya ia (jumlah panggilan palsu) telah menurun kalau dibandingkan dengan tahun 2022 di mana satu bulan prank-call adalah setinggi 31,000 dan tahun lepas menurun kepada kepada 19,000 panggilan sebulan.
-- BERNAMA