Sistem MMSW mampu perkasa ekosistem logistik negara

Bernama
Oktober 13, 2023 07:13 MYT
MOT berkata, MMSW bakal membolehkan komuniti perdagangan dan pengangkutan berintegrasi dengan Agensi Kerajaan Lain dan Agensi Pengeluar Permit menerusi satu portal sehenti digital yang bersepadu. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Geran padanan bersama lembaga pelabuhan sebanyak RM20 juta untuk menaik taraf sistem Malaysia Maritime Single Window (MMSW) mampu memperkasakan ekosistem logistik negara dan meningkatkan produktiviti serta daya saing negara.
Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan semalam berkata MMSW mampu mendukung aspirasi dan hasrat kerajaan ke arah pendigitalan dan inovasi perkhidmatan.
"MMSW merupakan satu projek infrastruktur digital untuk membangunkan tetingkap tunggal bagi tujuan fasilitasi pengangkutan dan perdagangan.
"MMSW bakal membolehkan komuniti perdagangan dan pengangkutan berintegrasi dengan Agensi Kerajaan Lain (OGA) dan Agensi Pengeluar Permit (PIA) menerusi satu portal sehenti digital yang bersepadu untuk urusan melibatkan sektor pengangkutan maritim, logistik dan perdagangan," katanya.
Menurut kementerian tersebut, pembangunan sistem MMSW juga adalah bertujuan memenuhi keperluan mandatori Convention on Facilitation of International Maritime Traffic 1965 (FAL Convention 1965), Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) yang mewajibkan supaya negara anggota IMO membangunkan Tetingkap Tunggal Maritim pada 1 Januari 2024.
-- BERNAMA
#MMSW #ekosistem logistik negara #portal sehenti digital #Kementerian Pengangkutan
;