Sistem Maid Online merekodkan 25,719 pelawat sejak mula operasi
Bernama
Januari 2, 2018 05:00 MYT
Januari 2, 2018 05:00 MYT
Permohonan pembantu rumah asing (PRA) dalam talian, Sistem Maid Online (SMO) yang beroperasi bermula semalam merekodkan 25,719 pelawat dengan 702 daripadanya adalah majikan yang mendaftar masuk permohonan untuk PRA mereka, setakat 12 tengah hari Selasa.
Dalam satu kenyataan di sini, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata terdapat juga majikan yang tidak dapat menyelesaikan proses pendaftaran kerana perlu melengkapkan syarat-syarat permohonan PRA mereka terlebih dahulu.
"Setakat ini, laman web ini dapat diakses dengan mudah dan lancar serta pelawat boleh membuat penelitian terlebih dahulu, memahami syarat-syarat serta prosedur permohonan pembantu rumah, mendapatkan maklumat asas dan terperinci daripada soalan lazim yang ditanya sebelum memulakan proses pendaftaran," katanya.
Beliau turut mengingatkan majikan supaya menyediakan dokumen yang lengkap sebelum memulakan proses pendaftaran PRA melalui SMO.
Katanya, sepanjang tempoh SMO beroperasi, pihaknya juga mengesan beberapa ralat dalam langkah-langkah pendaftaran semasa majikan mula memasukkan data pendaftaran, namun langkah-langkah penambahbaikan serta-merta telah diambil untuk memastikan operasi SMO berjalan lancar.
SMO yang disediakan Jabatan Imigresen susulan pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2018, Oktober lepas, menyediakan kemudahan kepada majikan untuk memohon PRA secara dalam talian dengan cepat, tepat dan lebih jimat tanpa melalui ejen
Mustafar berkata majikan yang tidak mahu menggunakan SMO masih boleh mendapat khidmat daripada agensi-agensi PRA yang berdaftar.
SMO boleh dilayari di laman web http://maid-online.imi.gov.my.
#jabatan imigresen
#Mustafar Ali
#pembantu rumah asing
#prosedur permohonan pembantu rumah
#Sistem Maid Online