Sistem LRT tergendala: Kerajaan Selangor sumbang 20 unit bas Smart Selangor - Amirudin

Rahimah Abdullah
November 9, 2022 15:33 MYT
Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya akan berbincang dengan RapidKL yang sebelum ini turut menguruskan Bas Smart Selangor. - Foto Astro AWANI
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan menyumbang penggunaan 20 unit Bas Smart Selangor mulai esok bagi membantu RapidKL mengatasi masalah gangguan Transit Aliran Ringan (LRT) yang tergendala selama tujuh hari.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya akan berbincang dengan RapidKL yang sebelum ini turut menguruskan Bas Smart Selangor.
LRT Tergendala | Kerajaan negeri sumbang 20 unit bas Smart Selangor
"Kerajaan Negeri dukacita dengan insiden gangguan sistem LRT laluan Kelana Jaya semalam yang menyebabkan operasi 16 stesen LRT ditutup.
"Bagi membantu ribuan pengguna balik dan pulang kerja sebab pemberhentian operasi dan jumlah bas tak cukup nak mengangkut mereka yang guna LRT, Kerajaan negeri akan bincang dengan RapidKL untuk guna 20 bas yang akan diselaras dengan RapidKL sebab kita tak mahu ada proses overlapping.
"Kita cuba untuk maksimumkan penggunaan daripada 160 laluan, kita akan ambil sebahagiannya untuk menambah jumlah bas dengan kordinasi RapidKL," katanya dalam sidang media di ibu pejabatnya di sini pada Rabu.
BACA: Gangguan perkhidmatan LRT: Kegagalan komponen berlaku di luar jangkaan
[TERKINI] LRT laluan Kelana Jaya digantung 7 hari
Tambahnya langkah itu penting memandangkan sebahagian bas itu mempunyai laluannya yang diputuskan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
"Kordinasi dengan RapidKL ini akan membantu dari segi kelancaran dan semaksimum mungkin boleh guna bas tersebut serta kita boleh elakkan kesalahan sebab sebahagian bas itu telah digazetkan kepada laluan tertentu.
"Kita akan bincang dengan RapidKL mulai hari ini. YB Ng Sze Han sebagai Exco Pengangkutan Negeri akan terlibat secara langsung dengan RapidKL dan ia bukan perkara baharu kerana RapidKL sememangnya antara vendor yang menguruskan Bas Smart Selangor,"ujarnya.
PRU15 | LRT Tergendala: Di mana silapnya? #MalaysiaMemilih
#Amirudin Shari #LRT #tergendala #laluan Kelana Jaya
;