Sistem 'lampu isyarat', penarafan PBT tahun depan - KPKT
Bernama
September 16, 2024 18:53 MYT
September 16, 2024 18:53 MYT
PAPAR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperkenalkan sistem penarafan baharu berdasarkan 'lampu isyarat' bagi menilai prestasi kesemua 156 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara mulai tahun depan.
Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata sistem tersebut bertujuan meningkatkan tahap kualti penyampaian perkhidmatan dan inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha kementerian untuk memastikan lebih akauntabiliti dan ketelusan dalam tadbir urus tempatan.
Beliau berkata sistem penarafan baharu itu akan menilai prestasi PBT dengan menawarkan penanda aras yang jelas untuk penambahbaikan penyampaian perkhidmatan.
"Di bawah sistem 'lampu isyarat' ini, pihak berkuasa tempatan akan diklasifikasikan kepada tiga kategori iaitu lampu hijau, kuning dan merah berdasarkan prestasi mereka," katanya dalam satu kenyataan selepas menghadiri Program Sentuhan Kasih ke-31 di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Ahli Parlimen Papar serta Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe.
Nga berkata PBT berprestasi kerja tinggi akan dilabelkan sebagai lampu hijau dan layak menerima pembiayaan tambahan, lampu kuning diberi amaran dengan peruntukan tertakluk kepada semakan.
Katnya kategori lampu merah mungkin menghadapi potongan pembiayaan dan permohonan kewangan pada masa depan mungkin ditolak.
Bagaimanapun, katanya kementerian akan bekerjasama dengan PBT yang tidak mencapai Prestasi Petunjuk Utama (KPI) untuk mengenal pasti punca masalah dan berusaha menyelesaikannya.
Sementara itu, dalam program tersebut, Nga mengumumkan peruntukan kementerian berjumlah RM13.2 juta untuk projek pembangunan infrastruktur awam dan sosioekonomi di kawasan Papar dan Kimanis.
-- BERNAMA