Sistem kuota Bumiputera hak termaktub dalam Perlembagaan - Sohaimi
Astro Awani
April 22, 2017 16:25 MYT
April 22, 2017 16:25 MYT
Sistem kuota yang dikhususkan untuk masyarakat Bumiputera di negara ini bukan satu penghinaan kepada golongan itu mahupun Melayu sebaliknya hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan, ia juga tidak perlu dipertikai selain perlu mengakui ketuanan Melayu serta bumiputera yang sememangnya berhak menikmati keistimewaan itu sepanjang zaman.
"Ia keistimewaan sekalipun kita sudah berjaya merapatkan jurang antara kaum di negara ini. Buat masa ini berdasarkan komposisi kaum, Bumiputera dan Melayu yang majoriti di negara ini hanya 30 peratus sahaja kuota berbanding kedudukan Bumiputera Melayu di negara ini iaitu 65 peratus. Selebihnya 70 peratus dari kouta yang ditetapkan milik siapa?
"Hari ini Bumiputera dan Melayu masih lagi ketinggalan. Tidak dinafikan hari ini jutawan Bumiputera dan Melayu sudah bertambah namun jika diukur dari segi komposisi kaum, kita masih lagi tertinggal dan masih belum mencapai 30 peratus.
"Kuota dalam sistem pendidikan di universiti awam misalnya, saya kira tidak mempunyai masalah kepada bangsa lain kerana kita juga mempunyai banyak pusat pengajian tinggi swasta dan dari segi komposisi kaum, Bumiputera dan Melayu teramatlah minoriti di universiti swasta," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan kenyataan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang percaya orang Melayu perlu melihat sistem kuota sebagai 'penghinaan'.
Dalam pada itu tegas Sohaimi, sistem kuota yang wujud kini dilihat tidak mempunyai masalah dan tidak menghina mana-mana kaum.
"Malah kebijaksanaan kerajaan pemerintah juga berjaya mengwujudkan pengimbangan dalam perkara ini. Saya amat khuatir penghapusan sistem kuota akan membawa kegusaran kerana dari segi sosio ekonominya berdasarkan komposisi kaum kita masih belum seimbang.
"Mungkin agak mudah jika negara ini seperti seperti zaman dahulu di mana penduduknya 100 Bumiputera dan Melayu dan tiada Melayu memberontak minta apa-apa daripada Raja mereka.
"Apa yang dinikmati kini adalah hasil toleransi kepada bangsa lain dan ini sudah disepakati dan dipersetujui dalam kontrak sosial," jelasnya.
Tambahnya, bumiputera dan Melayu sebenarnya juga bukan peminta sedekah malah tetap berkerja keras selain bersaing dengan bangsa lain di bumi sendiri bagi sedikit kesenangan.
"Kita tidak mendapat harta atas dulang emas, jadi jelas sistem kuota itu bukanlah satu penghinaan kepada Melayu dan bumiputera sendiri," ujarnya.