Sistem kod QR akan diperluas di lapangan terbang seluruh negara
Sinar Harian
Januari 11, 2025 11:30 MYT
Januari 11, 2025 11:30 MYT
Saifuddin Nasution mencuba sistem kod QR semasa meninjau Gate Kod QR MyBorderPass dan Sistem Smart Q di Terminal 1, KLIA pada Sabtu.
SEPANG: Penggunaan kod respons pantas (QR) bagi urusan imigresen akan diperluaskan di semua lapangan terbang seluruh negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sistem kod QR ini telah dilaksanakan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Johor sebelum dimulakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 bermula 1 Januari lalu.
"Langkah ke hadapan nanti ialah ke lapangan terbang yang utama di dalam negara. Kita ada Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu, Langkawi...pemasangan yang sama," katanya ketika ditemui selepas Sesi Tinjauan Gate Kod QR Myborderpass dan Sistem Smart Q di KLIA Terminal 1 di sini pada Sabtu.
Beliau sebelum itu sempat menggunakan sistem baharu berkenaan sebelum berlepas ke Abu Dhabi bagi menyertai lawatan rasmi Perdana Menteri.
Turut hadir semasa sesi tinjauan itu ialah Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.
Dalam pada itu, mengenai jangkaan tempoh masa peluasan penggunaan kod QR itu, Saifuddin menjelaskan, pihaknya akan meneliti tempoh yang munasabah kerana keputusan berkenaan perlu berpandukan data.
"Seramai 30 juta orang melibatkan ketibaan dan pelepasan di KLIA pada tahun lalu dan daripada jumlah ini, 18 juta adalah pengembara luar negara, manakala selebihnya rakyat Malaysia.
"Jadi kita akan tengok lapangan terbang mana yang mencatatkan pengembara yang tinggi, di situlah kita bagi keutamaan dan akan ikut jadual kerja kita," ujarnya.
Katanya lagi, sistem imigresen yang tidak dinaik taraf akan menyumbang kepada kesesakan dan berdasarkan panduan daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), 85 peratus pengembara perlu diselesaikan urusannya di kaunter imigresen dalam masa 20 minit.
"Berdasarkan pemantauan masa nyata, kita berjaya mencapai sasaran ini buat masa ini," katanya.
Sehingga kini beliau berkata, seramai 400,000 rakyat Malaysia telah memuat turun aplikasi sistem ini.
"Pengguna hanya perlu log masuk dan sistem ini membolehkan pelepasan dalam masa 60 saat iaitu secara purata empat saat.
"Setakat ini terdapat 40 unit autogate telah dipasang iaitu 20 di KLIA Terminal 1 dan 20 di Terminal 2 untuk ketibaan dan pelepasan melibatkan kos RM19.2 juta.
"Sejak pelancarannya 1 Januari lalu, purata penggunaan harian kini adalah 10,000 pengguna dan jumlah penggunaan keseluruhan adalah 55,000 pengguna dalam 11 hari pertama," katanya.
Berikutan negara ini akan menjadi Kepengerusian ASEAN tahun ini katanya, sistem berkenaan akan diperluaskan kepada pengembara ASEAN untuk pelepasan keluar dari Malaysia selain bagi persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026. - Sinar Harian