Sistem kesihatan Malaysia sudah bersedia tangani 'monkeypox' - Khairy
Ridauddin Daud
Mei 31, 2022 14:11 MYT
Mei 31, 2022 14:11 MYT
SINGAPURA: Sistem kesihatan di Malaysia sudah bersedia untuk menangani kehadiran penyakit berjangkit baharu termasuk ‘monkeypox’ yang sudah menular di beberapa negara.
Jaminan itu disuarakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang menegaskan, berdasarkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Malaysia akan mula meningkatkan keupayaan mendiagnosis penyakit tersebut.
“Terdapat nasihat daripada WHO, untuk Malaysia dan negara lain di rantau ini agar mula meningkatkan keupayaan mendiagnosis supaya kita boleh menguji cacar monyet.
“Hospital dan klinik kita sudah siap sedia. Kita mempunyai yang paling penting, infrastruktur pengesanan kontak yang telah tersedia daripada COVID-19 yang lepas.
“Ia adalah untuk memastikan bahawa jika terdapat satu lagi penyakit berjangkit di seperti cacar monyet, protokol sudah sedia ada,” katanya ketika diwawancara CNBC Asia pada Selasa.
Dalam pada itu, ketika ditanya adakah Malaysia mempertimbangkan untuk menutup sempadan negara memandangkan masih ada penyakit berjangkit menular di luar negara, Khairy menegaskan Malaysia tidak akan berbuat demikian.
“Tidak, semestinya tidak (tutup sempadan negara). Amaran adalah berkaitan Deltacron, sesuatu yang sangat mudah ditularkan dan sangat berbahaya.
“Begitupun, kita harus memberi isyarat kepada dunia bahawa sebaik sahaja kita membuka perniagaan, sebaik sahaja kita membuka semula dengan selamat, kita tidak akan berpatah balik,” ujarnya.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali pada Sabtu lepas juga berkata kerajaan tidak bercadang untuk menutup semula pintu sempadan meskipun berlaku penularan virus cacar monyet (monkeypox) di beberapa negara.
Khamis lepas, Khairy mengumumkan 'Health Alert monkeypox' akan dilaksanakan menerusi aplikasi MySejahtera mulai 27 Mei 2022.
Menerusi ciapan di Twitternya pada Khamis beliau berkata, aplikasi MySejahtera akan membolehkan pengguna memperoleh amaran kesihatan sekiranya mereka dijangkiti virus 'monkeypox'.