Sistem iCGPA mampu bendung salah laku termasuk rasuah
Astro Awani
November 12, 2017 16:24 MYT
November 12, 2017 16:24 MYT
Kementerian Pendidikan Tinggi yakin pelaksanaan Purata Nilai Gred Keseluruhan Berintegrasi (iCGPA) di universiti tempatan sejak diperkenalkan dua tahun lalu mampu membendung salah laku dalam kalangan mahasiswa termasuk gejala rasuah.
Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, iCGPA juga berupaya membentuk personaliti yang seimbang menerusi penilaian sahsiah dan etika pelajar.
Menurut beliau, sistem berkenaan membolehkan mahasiswa serta pihak universiti mengenal pasti kekuatan sekali gus memperbaiki kelemahan sepanjang tempoh pengajian mereka.
“InshaAllah dengan adanya iCGPA, kita harap (salah laku) mahasiswa akan dinilai dan apabila dikenal pasti (melakukan salah laku) kita akan perbaiki etika itu hingga akhir apabila keluar dari universiti kelak, salah laku itu dapat dikurangkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan rumah komuniti ke-165 di Kampung Gong Nering, Besut, pada Ahad.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad mengenai laporan hasil kaji selidik dijalankan SPRM tahun lalu mendapati 16 peratus daripada 1000 mahasiswa mahu menerima rasuah.
Lebih membimbangkan apabila 18.5 peratus pelajar turut menyatakan keinginan menerima suapan sekiranya tiada tindakan tegas diambil terhadap mereka.
Menurut Idris, iCGPA adalah inisiatif di bawah lonjakan satu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) bagi melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.
#icgpa
#Idris Jusoh
#Kementerian Pendidikan Tinggi
#Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM
#pelajar
#pendidikan
#Rasuah
#SPRM
#Tan Sri Dzulkifli Ahmad
#universiti