Sistem IBS Digital bantu kerajaan sasar 1 juta rumah mampu milik
Azyyati Ahmad
Mei 2, 2019 13:59 MYT
Mei 2, 2019 13:59 MYT
Sistem Binaan Berindustri (IBS) digital dilihat mampu bantu kerajaan memenuhi sasaran satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun.
Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sistem digital IBS, bermanfaat meningkatkan tenaga kerja tempatan dan mengurangkan penggunaan buruh asing dalam pembinaan.
Tambahnya, inovasi dan teknologi dalam IBS digital yang terdiri daripada model maklumat bangunan (BIM) dan alat reka bentuk dalam talian juga membolehkan pemaju membina rumah dalam tempoh lebih singkat tanpa mengabaikan kualitinya.
"Teknologi IBS digital tepat pada masanya selaras dengan perkembangan revolusi Industri Keempat (Industri 4.0) yang merupakan trend terkini automasi dan teknologi pembuatan semasa.
"Selain itu, ia memberikan peluang meningkatkan tenaga kerja tempatan untuk masa depan," katanya ketika berucap merasmikan pembukaan kilang Gamuda IBS digital di Banting hari ini.
Turut hadir Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli merangkap Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr A. Xavier Jayakumar dan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda, Datuk Lin Yun Ling.
Tambah Dr Mahathir, kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan pertengahan (M40) menjadi tumpuan utama bagi Dasar Perumahan Negara (2018-2025) yang memberi tumpuan kepada isu perumahan kos rendah bersrata di seluruh negara dengan menyeragamkan agensi bagi menyelaras kejayaannya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha Gamuda Berhad yang melabur lebih RM500 juta bagi pembinaan dua kilang berteknologi tinggi itu.
#B40
#Dasar Perumahan Negara
#Dr A Xavier Jayakumar
#Gamuda Berhad
#IBS Digital
#isu perumahan kos rendah
#Lin Yun Ling
#M40
#Malaysia Baharu
#rumah mampu milik
#Sistem Binaan Berindustri
#Tun Dr Mahathir Mohamad