KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan penggunaan sistem pengurusan ikat jamin elektronik, atau e-Jamin, selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI dan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggalakkan inisiatif pendigitalan dalam sistem perkhidmatan kerajaan.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, ia bagi menjamin kemudahan dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

"BHEUU JPM ingin menegaskan bahawa keputusan pembatalan (sebelum ini) telah diambil tanpa sebarang pengetahuan dan perbincangan dengan bahagian ini yang sepatutnya ia perlu dirujuk dan mengambil kira pandangan daripada semua pihak yang berkaitan.

"Justeru itu, pihak Jabatan Perdana Menteri telahpun membuat keputusan untuk meneruskan penggunaan sistem e-Jamin selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI," menurut kenyataan itu.

Badan Peguam Malaysia dalam pekelilingnya minggu ini memaklumkan sistem e-Jamin, yang membolehkan pihak menjamin membuat bayaran melalui transaksi perbankan secara dalam talian, tidak lagi digunakan mulai 20 Mei.

Mulai tarikh itu, sistem digital yang diperkenal empat tahun lepas diganti dengan sistem manual seperti sebelum ini yang menurut peguam mempunyai banyak kelemahan.

Tindakan itu menyebabkan seramai 50 peguam menandatangani memorandum petisyen terhadap JPM berhubung keputusan mengejut mahkamah membatalkan sistem e-Jamin. - BERNAMA