Sistem e-HBP DBKL mudahkan warga kota salur aduan, cadangan
Bernama
April 3, 2017 20:15 MYT
April 3, 2017 20:15 MYT
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini melancarkan sistem Hari Bertemu Pelanggan secara dalam talian (e-HBP) DBKL bagi memudahkan warga kota mengemukakan sebarang aduan dan cadangan.
Sistem e-HBP DBKL yang dilancarkan Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosio-Ekonomi) DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff bakal dilaksanakan secara bulanan pada setiap 15 haribulan bermula 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Ibrahim berkata sekiranya tarikh berkenaan jatuh pada hari minggu dan cuti umum, sistem ini akan beroperasi pada hari berikutnya.
"Sebelum ini, orang ramai yang mahu kemukakan aduan perlu hadir sendiri ke bangunan DBKL dan kebanyakan mereka menghadapi pelbagai kekangan seperti masa, kos, tenaga dan tempat parkir kenderaan.
"Melalui sistem ini yang menggunakan kaedah secara berbual dalam talian, mereka hanya perlu membuka pautan http://ehbp.dbkl.gov.my atau www.dbkl.gov.my melalui peranti mudah alih, telefon pintar atau komputer tanpa perlu memuat turun sebarang aplikasi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ibrahim berkata setiap pertanyaan, aduan dan pandangan yang diterima akan diberi maklum balas serta-merta dan tindakan pantas akan diambil dalam tempoh seminggu, bergantung kepada jenis aduan yang diterima.
"Orang ramai boleh mengutarakan apa sahaja permasalahan di bawah bidang kuasa DBKL seperti kerosakan jalan, masalah di Projek Perumahan Rakyat/Perumahan Awam, parkir serta sampah-sarap.
"Sekiranya ada aduan kesesakan jalan, kita akan salurkan kepada Kementerian Pengangkutan untuk diambil tindakan," katanya.
Beliau berkata DBKL menjadi satu-satunya pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini yang mengguna pakai sistem aduan dalam talian dan turut menyeru semua PBT lain menggunakan sistem seperti ini demi kemudahan orang awam.
Menurut Ibrahim, sekiranya sambutan terhadap e-HBP DBKL menggalakkan, DBKL akan mempertimbangkan cadangan untuk menjadikan waktu atau hari operasinya secara harian.
-- BERNAMA