Sistem e-dompet perlu diperluas, tingkat keselamatan
Bernama
Disember 12, 2019 05:06 MYT
Disember 12, 2019 05:06 MYT
Kerajaan disaran mempergiatkan lagi inisiatif menggalakkan penggunaan e-dompet dalam kalangan masyarakat seiring hala tuju majoriti negara ke arah masyarakat tanpa tunai.
Senator Datuk Lee Tian Sing berkata sebagai contoh di China, transaksi digital berkenaan digunakan secara meluas dengan bantuan pengendali perkhidmatan seperti Ali Pay.
"Kerajaan seharusnya mempertimbangkan untuk meningkatkan industri e-dompet (dalam negara) memandangkan hanya lapan peratus sahaja transaksi digital ini digunakan dalam sektor pembayaran (di Malaysia)," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020.
Lee juga mencadangkan agar kerajaan membuat ketetapan mengenai pihak yang akan membangunkan sistem dan perisian e-dompet dalam memastikan keselamatan terjamin.
Sementara itu, Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff turut menekankan kepentingan kerajaan mengangkat agenda digital yang memanfaatkan rakyat terutamanya di luar bandar.
"Bagi saya, agenda digital perlu diangkat dan ia akan menjadi pemangkin kepada agenda ekonomi yang dirancang selain menjadikannya sebagai perkara yang diraikan (memberi manfaat) semua rakyat," katanya.
Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin.
-- BERNAMA
#Agenda Digital
#Dewan Negara
#e-dompet
#kerajaan
#keselamatan
#lee tian sing
#luar bandar
#masyarakat tanpa tunai
#Mohd Yusmadi Mohd Yusoff
#perisian
#RUU perbekalan
#sektor pembayaran
#sistem
#transaksi digital