Sistem CIDBH - iENTRY tingkat pengurusan pekerja asing pembinaan
Bernama
Oktober 14, 2024 05:15 MYT
Oktober 14, 2024 05:15 MYT
PUTRAJAYA: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pada Isnin melalui anak syarikatnya CIDB Holdings Sdn Bhd melancarkan Sistem CIDBH - iENTRY bagi meningkatkan pengurusan pekerja asing dalam industri pembinaan.
Dalam kenyataan pada Isnin, CIDB memaklumkan ia juga bertujuan memperkenalkan penggunaan sistem bersepadu dalam memastikan pematuhan undang-undang berkaitan kebajikan dan keselamatan pekerja asing berkemahiran.
"Antara ciri utama sistem ini adalah menguruskan pendaftaran pekerja asing melalui sistem biometrik selepas mereka menerima Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) di negara sumber yang diperakui serta disahkan oleh CIDB dan pemantauan kebajikan pekerja asing secara holistik termasuk pengurusan penginapan mereka," kata CIDB.
Selain itu, ia juga memudahkan majikan dalam mematuhi syarat yang ditetapkan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520), Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
CIDB berkata dengan pelaksanaan Sistem CIDBH - iENTRY, pemantauan pekerja asing dan pematuhan perundangan akan menjadi lebih efektif, sekali gus memastikan kesejahteraan dan keselamatan pekerja asing terjamin.
Di samping itu, sistem itu turut membantu kerajaan menangani isu pekerja asing tidak bertauliah dengan memastikan hanya pekerja yang memiliki persijilan sah dibenarkan bekerja di tapak bina dan secara tidak langsung mengurangkan risiko keselamatan di tapak pembinaan.
Mengikut rekod CIDB, terdapat seramai 465,591 pekerja asing pembinaan yang berdaftar dengan CIDB di seluruh negara sehingga September 2024, manakala di Kuala Lumpur dan Selangor sahaja, masing-masing mencatatkan bilangan seramai 150,699 dan 166,456.
-- BERNAMA