Sistem 'cashless' mampu bendung gejala rasuah - Tun M
Firdaus Azil
Disember 1, 2018 15:19 MYT
Disember 1, 2018 15:19 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap rakyat dapat menuju ke arah menjadi masyarakat tanpa tunai (cashless society) sebagai salah satu usaha membendung gejala rasuah.
Beliau berkata, sistem tanpa tunai berupaya menghalang aktiviti menyogok dan sebagainya kerana aktiviti transaksi melalui platform digital itu direkodkan bank dan lain-lain sistem.
“Inilah cara yang kita fikirkan dan saya yakin dengan cara ini rakyat akan dapat banyak manfaat dan kurangkan kos sara hidup mereka. Kerajaan akan fikir lagi tentang cara ini untuk perkenalkan 'cashless society'.
“Cash ini kadang-kadang menyebabkan mudah terjadinya rasuah dan sebagainya. Bila kita perkenalkan cashless, sukar mereka sogok menyogok rasuah kepada sesiapa kerana semuanya akan direkod, dalam bank dan lain lain sistem supaya kita dapat tahu siapa yang beri dan terima,” katanya ketika berucap semasa Pelancaran Pas Perjalanan Tanpa Had MY100 & MY50 di KL Sentral hari ini.
Beliau berkata, gejala rasuah perlu dibendung dengan apa cara sekalipun memandangkan ia juga sedikit sebanyak menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup.
“Kalau tak ada rasuah sudah tentu kos sara hidup berkurangan. Kalau kita lihat rasuah berleluasa, maka tiap satu kerja yang hendak kita lakukan, akan jadi lebih mahal kerana perlu bayar jumlah tertentu kepada pihak tertentu yang diberi kuasa luluskan satu permintaan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berharap agar masyarakat, sama ada individu, syarikat atau kumpulan tertentu dapat memberikan input atau cadangan kepada kerajaan bagaimana untuk mengurangkan bebanan akibat kos sara hidup yang meningkat.
“Kalau ada pihak tahu macam mana kita boleh kurangkan, kita sedia terima dan kaji, kerana kalau semua nak beri percuma itu tak mampu.
“Tapi kalau ada cara, kerajaan akan terima dengan cara baik, sama ada dari individu syarikat atau mana mana kumpulan yang mencadang cara-cara mengurangkan kos sara hidup termasuk kos perjalanan dari satu tempat ke satu tempat dan kos barangan yang dijual di kedai dan pasar,” katanya lagi.
Dr Mahathir berkata, kerajaan Pakatan Harapan sedaya upaya mengkaji pelbagai cara untuk menyelesaikan masalah itu, sambil menambah mereka tidak mengharapkan agar rakyat berterima kasih selalu kepada mereka.
“Sepanjang masa Pakatan Harapan mencuba menolong rakyat walaupun kita tidak meminta supaya rakyat berterima kasih selalu kepada kerajaan, tapi bila ada pilihan raya fikir-fikir juga lah. Kita nak juga balasan (undi) kerana kita nak tolong rakyat lagi,” katanya dengan nada berseloroh.
#bank
#cashless society
#Mahathir Mohamad
#MY100
#My50
#Pakatan Harapan
#Perdana Menteri
#pilihan raya
#prasarana
#Rasuah
#Tun M