Sistem biometrik saring pekerja asing dilaksana Februari 2018
Bernama
Disember 21, 2017 04:00 MYT
Disember 21, 2017 04:00 MYT
Sistem Biometrik Pemeriksaan Saringan Kesihatan Pekerja Asing bertujuan menangani masalah pemalsuan identiti dijangka hanya akan berkuatkuasa sepenuhnya di seluruh negara pada Februari tahun depan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) Datuk Mohd Hatar Ismail berkata ia berikutan proses menaik taraf sistem komputer di sesetengah klinik panel Fomema masih berjalan bagi mengadaptasi sistem biometrik itu.
"Pembangunan sistem integrasi Fomema dan sistem teknologi maklumat Jabatan Imigresen bagi tujuan ini juga berada di peringkat akhir," katanya kepada Bernama di sini, pada Khamis.
Sistem biometrik itu sepatutnya berkuatkuasa sepenuhnya di seluruh negara bermula Oktober lepas.
Melalui sistem itu, pekerja asing perlu melakukan pengecaman cap jari biometrik bagi melakukan saringan kesihatan di lebih 3,000 klinik panel Fomema dalam memastikan hanya pekerja asing yang sihat bekerja di negara ini.
Mohd Hatar berkata pada masa ini pihaknya telah mengedarkan 'biometric reader' kepada lebih 2,000 klinik Fomema dengan bakinya akan diedarkan secara berperingkat sebelum pelaksanaan sepenuhnya.
Beliau berkata peralatan itu diedarkan kepada kesemua doktor panel Fomema tanpa sebarang caj.
Mengulas lanjut mengenai sistem berkenaan, beliau berkata pangkalan data Jabatan Imigresen akan menghantar pengesahan kepada pihak Fomema sama ada pekerja asing yang datang membuat saringan merupakan pekerja yang sah.
"Isunya ialah mana-mana pekerja asing yang berada dalam negara tetapi tidak masuk menggunakan laluan sah dan tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan di negara sumber mahupun di Malaysia, mereka berpotensi menularkan penyakit berjangkit.
"Apabila pendatang asing ini bercampur dengan pekerja asing sah, risiko jangkitan tinggi terutamanya jangkitan melalui udara seperti wabak Tibi," katanya.
-- BERNAMA
#biometrik
#fomema
#pasport
#pasport Malaysia
#pekerja asing
#pemalsuan identiti
#pengecaman cap jari biometrik
#saringan kesihatan