Sistem biometrik elak pelajar asing salah guna visa

Bernama
Disember 23, 2016 13:24 MYT
Sesetengah pelajar luar negara yang masuk ke negara ini menimbulkan masalah dengan terlibat dengan pelbagai jenayah. - Gambar hiasan
Kehadiran pelajar asing di negara ini memperlihatkan Malaysia antara negara pilihan antarabangsa melanjutkan pelajaran, namun tindakan segelintir mereka yang menyalahgunakan visa menjadi 'bom jangka' kepada keselamatan negara jika tidak ditangani segera.
Ancaman keselamatan itu diburukkan lagi apabila mereka terlibat dengan jenayah berprofil tinggi seperti pengedaran dadah antarabangsa, penyeludupan senjata api dan lebih membimbangkan sekiranya terdapat segelintir pelajar yang mempunyai agenda dalam menyebarkan aktiviti militan Daish kepada masyarakat tempatan khususnya golongan belia.
Selasa lepas, polis menahan tujuh lelaki termasuk empat warga asing yang disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan di beberapa lokasi dalam negara antara 3 November hingga 16 Disember lepas dan dua daripada warga asing terbabit merupakan pelajar di sebuah kolej swasta di Selangor.
Tidak dinafikan pelbagai inisiatif telah dilaksanakan kerajaan dalam menangani permasalahan ini seperti pelaksanaan menerusi pemantauan sistem Education Malaysia Global Services (EMGS) yang berperanan memantau dengan teliti aktiviti pelajar antarabangsa ketika berada di negara ini.
Namun, kegiatan ini tidak akan berjaya sekiranya terdapat segelintir pihak dari kolej swasta yang hanya memikirkan keuntungan dengan memalsukan dokumen tentang kehadiran pelajar.
Perkara itu dilontarkan Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye, yang berpendapat, kerajaan harus menambah baik sistem EMGS dengan memperkenalkan sistem biometrik kehadiran pelajar ke universiti.
"Kita mengambil contoh pelaksanaan projek inovasi aplikasi Pepatih MySekolah yang telah dipraktikkan di empat buah sekolah di Kuala Lumpur dan Melaka. Walaupun keberkesanannya masih dalam peringkat kajian, tetapi saya yakin sistem inovasi ini mampu mengekang permasalahan yang melibatkan kehadiran pelajar asing di pusat pengajian tinggi di negara ini.
"Dengan adanya sistem ini, kita dapat memantau sebarang aktiviti yang membahayakan negara kita melibatkan pelajar asing," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata sistem inovasi ini harus diwajibkan pemasangannya di semua institusi pengajian tinggi di Malaysia khususnya di kolej swasta.
"Dalam hal ini, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing... memang bukan semua pelajar antarabangsa ini mempunyai niat jahat tetapi kita harus mengambil langkah berjaga-jaga agar anasir luar ini tidak mempengaruhi dan mengancam keselamatan negara kita.
Pepatih MySekolah adalah aplikasi canggih yang dibangunkan bagi melihat kehadiran anak ke sekolah secara terperinci dengan menggunakan teknologi biometrik. Pelajar perlu mengesahkan kehadiran menggunakan cap jari dan notifikasi kehadiran ke sekolah dan dihantar secara terus kepada ibu bapa melalui aplikasi itu yang dimuat turun dalam telefon pintar masing-masing.
Perkara itu turut disokong pensyarah Pengajian Islam dan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Ahmad El Muhammady bahawa pelaksanaan sistem ini menunjukkan kerajaan memandang berat masalah yang melanda negara ini.
"Ancaman keselamatan bukan hanya daripada dalaman, tetapi kita sekarang turut berdepan dengan ancaman dari negara luar, sekiranya mereka berjaya menembusi kawalan keselamatan negara kita dengan mengunakan tiket pelajar, ini bermakna mereka berjaya menembusi sistem keselamatan kita.
"Mungkin sekarang mereka hanya terlibat dengan jenayah komersial dan narkotik tetapi tidak mustahil jika pelajar ini mampu membawa fahaman serta propaganda Daesh untuk mempengaruhi masyarakat tempatan khususnya belia di negara ini," katanya.
Ahmad juga berkata adalah tidak wajar sekiranya negara mengehadkan pengambilan pelajar asing daripada belajar di negara ini.
"Pelajar asing juga merupakan penjana ekonomi negara melalui pendidikan, sekiranya lebih ramai pelajar asing yang masuk ke negara adalah lebih baik. Tetapi pengambilan mereka haruslah melalui saringan yang ketat agar kita mengambil pelajar yang betul-betul ingin belajar bukan sebaliknya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya kewajaran sekiranya pengambilan pelajar asing masuk ke negara ini dihadkan pada jumlah tertentu berikutan sebelum ini terdapat kes jenayah melibatkan pelajar asing, antaranya kesalahan narkotik, 'Macau Scam', 'Love Scam', 'Black Money' dan pelacuran.
-- BERNAMA
#biometrik #jenayah #pelacuran #pelajar antarabangsa #penyeludupan #salah guna visa
;