Sistem awas tunjuk impak positif - Liow

Bernama
April 17, 2017 07:45 MYT
Kementerian berpuas hati dengan perkembangan tersebut dan berharap pemandu di negara ini akan lebih mementingkan keselamatan semasa pemanduan selepas ini.
Penguatkuasaan denda mata demerit di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) yang bermula Sabtu (15 April) menampakkan impak positif apabila pemandu didapati mengurangkan kelajuan kenderaan mereka.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementerian berpuas hati dengan perkembangan tersebut dan berharap pemandu di negara ini akan lebih mementingkan keselamatan semasa pemanduan selepas ini.
"Sebanyak 14 kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES) yang dipasang seluruh negara dan kita (kementerian) monitor selama dua hari ini. Didapati kelajuan kenderaan sudah menurun. Tetapi maklumat terperinci mengenainya saya akan beritahu dalam masa sebulan lagi.
"Saya harap pada selepas ini tidak perlu lagi kerajaan gunakan enforcement. Pemandu sendiri akan tahu mana keadaan yang dia perlu pandu dengan perlahan...sebab kita bukan nak kenakan penalti atau hukuman. Kita nak selamatkan nyawa," katanya kepada pemberita selepas Siri Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, di sini hari ini.
Turut hadir pada siri dialog tersebut Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Liow berkata penguatkuasaan sistem Awas bagi semua kesalahan pemanduan akan dilakukan secara berperingkat sehingga hujung tahun ini. - BERNAMA
#AWAS #jalan raya #keselamatan #Liow Tiong Lai
;