Sistem apungan terurus beri fleksibiliti kepada pengguna

Bernama
November 21, 2014 22:20 MYT
Langkah kerajaan memansuhkan subsidi petrol dan diesel beri fleksibiliti kepada pengguna untuk menikmati harga minyak yang lebih rendah.
Langkah kerajaan untuk memansuhkan subsidi petrol dan diesel serta memutuskan untuk melaksanakan apungan terurus dalam menentukan harga bahan api runcit berasaskan harga minyak mentah dunia, akan memberi fleksibiliti kepada pengguna untuk menikmati harga minyak yang lebih rendah berdasarkan kejatuhan harga minyak semasa.
Penganalisis minyak dan gas yakin mengenai kemungkinan harga RON95 lebih rendah berbanding harga runcit bersubsidi semasa pada RM2.30 seliter dan RM2.20 seliter untuk diesel, sebaik mekanisme harga baharu dilaksanakan pada 1 Dis 2014.
Kerajaan akan memutuskan harga petrol dan diesel menerusi apungan terurus, berasaskan Mekanisme Harga Automatik (APM) dan kadar mata wang, serupa sistem yang digunakan untuk menentukan harga RON97 sejak Julai 2010.
Menerusi sistem itu, kerajaan akan mengira harga purata bagi bulan tertentu dan menetapkan harga untuk bulan berikutannya.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek, harga purata RON95 dari 1 Nov hingga 19 Nov berasaskan APM, turun kepada RM2.27 seliter. Angka ini lebih rendah berbanding harga runcit RM2.30 seliter.
Jika harga lebih rendah RON95 berterusan hingga 30 Nov, 2014, harga petrol akan lebih rendah berbanding harga di pam sebanyak RM2.30.
Satu lagi kelebihan mekanisme ini ialah pengguna akan menikmati harga minyak pada paras yang agak tetap, sekurang-kurangnya untuk beberapa bulan, dengan penganalisis menjangkakan harga minyak global yang lemah akan bertahan untuk tempoh dua tahun, dengan unjuran pertengahan penggal antara US$80 dan US$90 setong.
Sistem apungan terurus lazim digunakan dalam persekitaran kewangan antarabangsa dengan bank-bank pusat berusaha mempengaruhi kadar tukaran asing negara dengan membeli dan menjual mata wang.
Berikutan mekanisme baharu itu dilaksanakan seiring dengan pemansuhan subsidi bahan api, Ketua Ekonomi Alliance Bank Malaysia Bhd Manokaran Mottain berkata ini akan banyak membantu kerajaan memenuhi sasaran defisit fiskalnya pada 3.0 peratus.
"Satu pertiga daripada hasil bajet kerajaan datang daripada sektor minyak dan gas (anggaran 2015: RM60 bilion), manakala kos subsidi bahan api meliputi 8.5 peratus perbelanjaan operasi (anggaran 2015: RM20 bilion)," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas pengumuman mengenai penentuan harga petrol menerusi apungan terurus.
Naib Presiden dan Ketua Penyelidik Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan memuji langkah itu dan berkata ia akan mengurangkan beban rakyat selain berpotensi menangani tekanan inflasi.
"Kita berharap apabila harga bahan api turun, peruncit dan peniaga juga akan memain peranan untuk tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga," katanya.
#diesel #harga #minyak #petrol #RON95 #RON97 #subsidi
;