Sistem ANPR akan dipasang selewatnya Ogos - Polis

Astro Awani
Jun 14, 2015 18:12 MYT
Bagi fasa pertama, sejumlah 20 unit ARNP akan dipasang disempadan negara dengan nilai kira-kira 30 juta ringgit. - Gambar Fail
Sistem pengesanan nombor pendaftaran automatik (ANPR), yang akan dipasang di sembilan pintu sempadan negara akan beroperasi selewat-lewatnya awal Ogos ini.
Bagi fasa pertama, sejumlah 20 unit ARNP akan dipasang dengan nilai kira-kira 30 juta ringgit.
Pegawai Turus Trafik Bukit Aman Suprintendan Zulkefly Yahya berkata dengan adanya sistem itu, ia akan memudahkan pihak polis mengesan kenderaan yang melakukan jenayah seperti menggunakan kenderaan curi dan memiliki saman trafik.
Alat pengimbas daripada teknologi Amerika Syarikat itu tidak hanya dipasang di sempadan negara malah boleh digunakan secara mudah alih.
Jelasnya lagi, sistem itu juga akan dipasang di kereta peronda dan bagi yang melakukan kesalahan lalu lintas boleh disaman serta merta.
“Insya Allah selepas Hari Raya alat pengesan nombor pendaftaran ANPR berkesan kerana alat tersebut akan diletakkan di sempadan dan kita boleh bagi tahu segera bagaimana mereka keluar masuk secara automatik akan dikesan sekiranya mereka ada saman,” kata Zulkefly.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Operasi Saman Tertunggak Warga Asing 2015 di Kawasan Rehat dan Rawat Lebuh Raya Link Kedua Gelang Patah, Johor.
Operasi yang bermula sejak Jumaat lalu di tiga lokasi di sekitar Johor Bahru, sebanyak 4,200 saman tertunggak diselesaikan oleh pesalah trafik warga Singapura.
Menurut Zulkefly rata-rata kesalahan yang dilakukan ialah memandu melebih had laju yang ditetapkan.
Sejak 2010, lebih 700 ribu saman tertunggak melibatkan kenderaan asing manakala 500 ribu saman adalah pesalah trafik dari warga Singapura.
Justeru itu, operasi memburu pesalah trafik warga asing yang masih gagal melunaskan saman akan diteruskan di beberapa pintu sempadan lain.
#ANPR #Nombor pendaftaran automatik #polis #sempadan #trafik #Zulkefly Yahya
;