Sistem amaran tsunami menerusi SMS
Bernama
Oktober 23, 2018 07:47 MYT
Oktober 23, 2018 07:47 MYT
Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan membangunkan sistem khas yang akan berfungsi memberi maklumat awal berkenaan kejadian Tsunami menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), kata Menterinya Yeo Bee Yin.
Beliau berkata sistem amaran itu antara lain akan menyalurkan maklumat berkenaan kejadian Tsunami kepada orang awam menerusi SMS mengikut lokasi risiko.
Yeo berkata pewujudan sistem amaran Tsunami menerusi SMS itu merupakan pelan tindakan yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia bagi memudahkan semua pihak termasuk pelancong asing mengetahui maklumat berkenaan bencana alam tersebut.
"Saya juga mencadangkan Jabatan Meteorologi untuk mengkaji bagaimana sistem amaran Tsunami menerusi SMS itu dapat diperluaskan. Buat masa ini, kita memerlukan sistem amaran SMS bagi Tsunami dahulu dan selepas itu sistem amaran bagi bencana lain.
"Sistem amaran SMS ini akan menghantar terus amaran Tsunami ke setiap (telefon) orang awam berdasarkan lokasi berisiko dilanda bencana," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.
Terdahulu, Yeo dan timbalannya Isnaraissah Munirah Majilis mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam rangka lawatan kerja kementeriannya ke Sabah.
Sementara itu, Yeo berkata, kementeriannya mahu jabatan berkaitan menjalankan latihan kecemasan secara berkala menggunakan sistem siren amaran Tsunami dipasang di 56 lokasi di seluruh negara yang dikenal pasti berisiko berlaku bencana alam itu.
Menurutnya, langkah itu perlu bagi meningkatkan kesedaran, kefahaman serta pengetahuan orang awam mengenai fungsi sistem amaran SMS dan bunyi siren dalam memberi maklumat awal berkenaan bencana alam tersebut.
"Sekarang ini, kesemua 56 siren itu telah diperiksa dan ia berfungsi dengan baik, bagaimanapun, rakyat masih tidak mengetahui fungsi siren itu apabila ia dibunyikan dan sebab itu latihan kecemasan perlu dilaksanakan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Yeo berkata, kementeriannya akan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi merangka pelan tindakan untuk meneliti secara terperinci seterusnya menyelesaikan isu kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands, Pahang.
Bagaimanapun, jawatankuasa khas itu masih di peringkat perbincangan dan akan diumumkan kelak, katanya ketika diminta mengulas laporan penerokaan tanah di Cameron Highland yang semakin parah dan berada pada tahap membimbangkan.
-- BERNAMA
#Cameron Highlands
#Jabatan Meteorologi
#jawatankuasa khas
#latihan kecemasan
#lokasi
#maklumat
#Pelan Tindakan
#penerokaan tanah
#risiko
#Sabah
#siren
#sistem amaran
#SMS
#tanah runtuh
#tsunami
#Yeo Bee Yin