Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh: Jangan sampai jadi gajah putih, perlu ada perincian dan pemantauan

Madiha Abdullah
Mei 6, 2023 18:21 MYT
Garis panduan yang lebih berfokus perlu diwujudkan supaya dapat membantu DBKL dalam aspek pemantauan cerun. - JBPM
KUALA LUMPUR: Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh yang akan diperkenalkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merupakan satu langkah yang baik ke arah memastikan tindakan yang cepat dapat diambil sekiranya terdapat tanda-tanda awal kegagalan cerun.
Bagaimanapun, Presiden Institut Geologi Malaysia, Abd Rasid Jaapar berkata, pelaksanaannya harus disertakan dengan perancangan dan penyelidikan terperinci bagi mengelakkan pembaziran kos dan tenaga kerja.
"Saya harap ia tidak dilaksanakan secara terburu-buru kerana kita tak nak ia jadi 'gajah putih'. Saya berpendapat perlunya ada satu penyelidikan yang lebih terperinci dan juga perbincangan antara pakar-pakar untuk memastikan kita tempatkannya di tempat yang sememangnya perlu.
"Ia juga mempunyai rangkaian yang boleh diselia dengan baik oleh pihak DBKL. Kita tidak mahu nanti apabila sudah dipasang, tidak ada yang memantau atau yang mengambil peduli tentang peralatan itu, ia akan jadi satu pembaziran," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Sabtu.
Sistem amaran awal tanah runtuh
Beliau juga melihat perlunya satu pengenalan program risiko bencana yang komprehensif dan bersifat komuniti bagi memperjelaskan dan memberi kefahaman kepada penduduk di lokasi-lokasi berisiko.
"Kita perlu ada satu program pengenalan risiko bencana yang lebih komprehensif dan juga kita perlu belajar berkomunikasi dengan masyarakat, dengan penduduk-penduduk di Kuala Lumpur.
"Ini yang kita namakan pengurusan risiko bencana berasas komuniti di mana kalau kita dapat lakukan ini secara berkala dan sistematik, kita dapat mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu melalui perkongsian maklumat dan juga melalui penglibatan masyarakat setempat," ujarnya.
Jelasnya, sistem amaran ini bukanlah perkara baharu di Malaysia kerana ia sudah dipasang di beberapa lokasi seperti di Lebuh Raya Utara Selatan serta di Genting Highland, sekali gus menunjukkan negara mempunyai kepakaran yang cukup untuk menguruskannya.
Dalam masa yang sama beliau berharap dapat diwujudkan garis panduan yang lebih berfokus supaya dapat membantu DBKL dalam aspek pemantauan cerun.
"Kita sudah ada banyak garis panduan tetapi isu utama ialah pelaksanaan dan juga pemantauan, itu memang kelemahan agensi kerajaan yang harus diakui, tidak kira sama ada dari segi kekurangan kakitangan ataupun kemahuan politik.
"Garis panduan memang baik jika diikuti, harus dipastikan garis panduan itu dipatuhi oleh pemilik cerun persendirian.
"Contoh di Hong Kong, sesiapa yang buat cerun, mereka yang harus bertanggungjawab menyelenggara. Tetapi kita di Malaysia tak ada akta sedemikian," katanya lagi.
#cerun #tanah runtuh #DBKL
;