Sistem amaran awal, ramalan dan hebahan kurangkan kerosakan bencana sehingga 30 peratus - Pakar
Irfan Faruqi
Disember 6, 2024 20:59 MYT
Disember 6, 2024 20:59 MYT
KUALA LUMPUR: Sistem amaran awal, sistem ramalan bencana dan sistem hebahan yang baik boleh mengurangkan kerosakan akibat bencana sehingga 30 peratus.
Pengarah Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana (DPPC) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Khamarrul Azahari Razak berkata, pelaburan untuk membawa masuk sistem termaju dan teknologi terkini ini perlu terus ditingkatkan.
"Kita lihat sebenarnya, dengan adanya sistem amaran awal, sistem ramalan dan sistem hebahan yang baik berupaya mengurangkan kadar kerosakan sebanyak 30 peratus, berdasarkan kepada data Pejabat Pengurangan Risiko Bencana Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDRR).
“Ini menuntut keperluan untuk melabur. Kerajaan perlu tingkatkan peruntukan, tambah dana dan tambah geran untuk mendapatkan teknologi-teknologi baharu serta termaju,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Jumaat.
Sistem amaran awal, ramalan dan hebahan kurangkan kerosakan bencana sehingga 30 peratus - Pakar
Tambah Khammarul Azahari, pelaburan yang diperlukan bukan semata-mata untuk mendapatkan teknologi termaju ke dalam negara. Bahkan, katanya, pelaburan juga perlu disediakan untuk melatih tenaga-tenaga mahir yang boleh mengendalikan teknologi terbabit.
“Bukan hanya teknologi itu semata-mata, bahkan pembangunan modal insan. Pengurus-pengurus bencana juga perlu didedahkan dengan teknologi-teknologi baharu. Pemodelan-pemodelan ini membantu mereka memahami senario (bencana) setempat,” ujarnya.
Agenda AWANI: Pengurusan Bencana, Monsun Timur-Laut Bukan Setakat Banjir