Sistem Aerotrain, pengendali bagasi KLIA akan diganti tahun ini - MAHB

Israr Khalid
April 1, 2022 05:00 MYT
Aerotrain KLIA sering mengalami kerosakan dan ia nyata memberi kesulitan kepada para penumpang. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan menggantikan dua aset lamanya, iaitu sistem Aerotrain dan pengendali bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan yang baharu pada tahun ini.
Kata Pengurus Operasi MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, ia sebagai usaha untuk memberi nafas baharu kepada perkhidmatan di lapangan terbang tersebut yang akan kembali menjadi tumpuan susulan pembukaan sempadan antarabangsa negara pada Jumaat.
Menurut beliau, beberapa aset usang yang ada di KLIA yang beroperasi sejak 1999 itu turut akan diperbaharui secara berperingkat, begitu juga aset-aset MAHB di seluruh negara.
“Insya-Allah beberapa bulan lagi, April atau Mei kita akan laksanakan penggantian aset bermula dengan Aerotrain.
“Satu lagi adalah pengendali bagasi. Sudah lebih 20 tahun dah, jadi kita juga tak lama lagi akan mengumumkan penukarannya insya-Allah pertengahan tahun ini,” katanya.
Jelas Iskandar, pembaharuan aset itu dapat mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan sekaligus memberi keselesaan kepada pelanggan, yang secara tidak langsung akan membawa limpahan manfaat kepada seluruh ekosistem lapangan terbang terutamanya para peniaga.
Justeru, pihak MAHB akan mempererat kerjasama dengan pihak penyewa premis perniagaan supaya mereka dapat kembali menjadi tumpuan bukan sahaja para penumpang tetapi pengunjung luar.
Beliau mahu bukan sahaja syarikat penerbangan, tetapi seluruh komponen di dalam ekosistem MAHB dapat mekar semula secara bersama.
“Kita lihat itu adalah kepentingan bersama. Kami boleh sahaja mendapat pendapatan daripada penumpang, tapi kepada para peniaga, penumpang-penumpang yang keluar dan masuk, dia mahu membeli di sini atau tidak perlu beli, mereka perlu menggunakan kami.
“Jadi kita kena tingkatkan lagi menggembeling kembali kerjasama dengan mereka supaya mereka sendiri dapat menjadi tarikan bersama. Bazar dan sebagainya insya-Allah kita akan laksanakan.
“Kerana kami berpegang, kalau kita tak meningkatkan kerjasama dengan yang lain, kita tak akan ke mana,” ujarnya lagi.
Tonton temu bual penuh bersama Iskandar dalam program Agenda AWANI Khas sempena pembukaan sempadan antarabangsa negara 1 April 2022 dengan hos Dzulfitri Yusop, di sini:
Aerotrain, pengendalian bagasi KLIA akan diganti tahun ini - MAHB
Agenda AWANI: Rentas Jambatan Endemik
#MAHB #Iskandar Mizal Mahmood #buka sempadan #aerotrain
;