Sisi lain musim banjir: Pesta patin liar di pintu air
Vivi Sumanti
Disember 6, 2019 17:48 MYT
Disember 6, 2019 17:48 MYT
Muka kuala Tujoh yang biasanya menjadi tempat pemancing memburu udang galah, berubah menjadi misi menyembat ikan patin liar sejak seminggu lalu.
Ia merupakan acara tahunan bagi pemancing sekitar Tumpat sekiranya berlaku banjir dan pintu laluan air di Jubakar Pantai di buka.
Menurut Nur Muhammad Rashid, 26, pesta menangkap ikan patin liar bermula sejak seminggu lalu dan kawasan itu dipenuhi kira-kira 300 pemancing tempatan.
Katanya, dia sendiri sudah tiga hari memancing di situ, dan berjaya 'menjinakkan' tiga ekor patin liar.
"Sebelum ini saya mendapat dua ekor patin yang beratnya kira-kira 10 kilogram (kg) dan hari ini (Khamis) berjaya mendaratkan seekor yang beratnya 3kg.
"Biasanya kita ikan itu tidak lama di tangan saya kerana orang ramai yang datang melihat akan minta untuk membelinya," katanya ketika ditemui di sini.
Dia berkata, permintaan terhadap patin liar atau sungai agak tinggi kerana isinya lebih enak berbanding patin sangkar.
"Kita jual RM10 sekilogram lebih murah berbanding harga pasaran. Disebabkan itu orang ramai sanggup tunggu dan berebut untuk mendapatkan ikan patin yang berjaya dinaikkan," ujarnya.