Sisa-sisa kawasan hutan di Selangor patut dipulihkan semula dan dipelihara - Dr Ibrahim Komoo

Israr Khalid
September 3, 2021 00:20 MYT
Kesejahteraan manusia itu amat bergantung kepada kesejahteraan alam sekitarnya. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pendapatan Selangor yang besar selaku negeri ‘maju’ sepatutnya diperuntukkan sebahagian daripadanya kepada usaha memulihara dan memelihara kawasan hutan yang masih tinggal di negeri itu.
Tegas Felo Utama Lestari UKM, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo, ia tidak patut ditarah dan dibangunkan lagi, sebaliknya adalah lebih baik ia dibangunkan menjadi taman hijau untuk mengekalkan kesejahteraan ekosistemnya yang memanfaatkan manusia juga pada akhirnya.
“Mereka boleh guna sebahagian dana untuk membaik pulih hutan tersebut, menjadikannya taman di dalam bandar, menyediakan pelbagai kemudahan riadah.
“Pada masa sama, hutan yang kecil ini atau yang kita sebut hutan yang tinggal sebesar 'sekangkang kera' ini boleh dibaiki, dikembalikan kepada kualiti asal dan dengan itu boleh berfungsi sebaik mungkin, menjadi aset atau khazanah untuk komuniti sekelilingnya,” katanya.
Khususnya terhadap penduduk asal yang tinggal di dalam atau sekitarnya, dalam hal ini beliau merujuk kepada sekitar 2,000 Orang Asal yang tinggal di Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang berdepan ancaman pembangunan.
Kata Ibrahim, mereka mempunyai hak untuk terus tinggal di situ, dan tidak mudah untuk memindahkan mereka ke perumahan baharu kerana sejak bergenerasi mereka sudah biasa dan sejahtera hidup di dalam kehijauan alam.
Ujarnya, kemerosotan kehidupan flora dan fauna atau keterasingannya daripada kawasan hutan utama di pinggir bandar bukan satu alasan yang boleh diterima untuk membenarkan ianya ditarah, kerana sebab mengapa ia perlu dikekalkan dan dipelihara itu adalah lebih besar daripada perihal keuntungan material.
“Kalau nak menyah hutan sebaik-baiknya keperluannya adalah untuk pembangunan yang memanfaatkan masyarakat umum, tapi pembangunan untuk tujuan perniagaan itu kita anggap pengunaan tahap dua atau tiga.
“Kebakaran hutan di kawasan itu adalah kerana pembangunan tambakan di kawasan luarnya menyebabkan paras air tanah turun beberapa meter, dan kawasan hutan gambut ini menjadi kekurangan air.
“Kita boleh adakan beberapa tindakan untuk memastikan kawasan yang telah terdegredasi ditanam semula, dijaga," katanya lagi.
Menurut Ibrahim, beliau melihat Hutan Simpan Kuala Langat Utara ini sebagai aset yang amat berharga bukan sahaja dalam konteks peranannya terhadap kelestarian alam sekitar, tetapi juga sebagai kawasan hijau di sebauh wilayah perbandaran yang telah dibangunkan secara meluas.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Jumaat dihoskan oleh Nazri Kahar. Tontonnya di sini:
Sisa-sisa kawasan hutan di Selangor patut dipulihkan semula - Dr. Ibrahim Komoo
Agenda AWANI: Isu Nyahwarta Hutan Simpan Kekal
#Agenda Awani #Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo #Hutan Simpan Kuala Langat Utara #Selangor #hutan di Selangor #alam sekitar #hutan simpan
;