Sisa jerami padi hasilkan produk kelestarian industri di peringkat global

Astro Awani
Disember 5, 2024 19:20 MYT
Chang (tengah) ketika melakukan lawatan kerja ke fasiliti Free The Seed pada Khamis. - Foto Bioeconomy Corporation
GURUN: Penghasilan emas hijau atau produk pembungkusan terbiodegradasi yang diproses daripada sisa jerami padi di Gurun, Kedah dianggarkan mencecah nilai pasaran RM60 juta apabila diedarkan di pasaran tempatan dan antarabangsa bermula tahun depan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang memaklumkan, pihaknya menyokong penuh usaha pengeluaran produk pembungkusan terbiodegradasi yang bakal diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara termasuk Jerman, Belanda, Jepun dan United Kingdom pada 2025.
Tambah beliau, kerjasama itu juga berjaya meningkatkan rantaian nilainya yang lebih besar apabila mewujudkan peluang pendapatan tambahan kepada pesawah dan komuniti setempat.
Seramai 618 pesawah telah terlibat dalam projek ini dan penglibatan itu dijangkakan meningkat kepada 3,700 pesawah apabila operasi sepenuhnya dimulakan pada tahun depan.
Dalam pada itu, lanjutan kerjasama antara Bioeconomy Corporation dan Free The Seed, pesawah dari kawasan ini dijangka menjana pendapatan tambahan sebanyak RM3 juta setahun bermula tahun 2025 hasil daripada penjualan sisa jerami padi.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja ke fasiliti Free The Seed pada Khamis.
Pengeluaran produk hasil kerjasama awam-swasta antara Malaysian Bioeconomy Development Corporation dan syarikat berstatus BioNexus, Free The Seed Sdn Bhd bakal memacu industri terbiodegradasi negara melalui pemprosesan sisa jerami padi menggunakan enzim bioteknologi.
Mengulas lanjut, Chang Lih Kang berkata, ini membuktikan potensi besar bioteknologi dalam mengubah sisa jerami padi menjadi ‘emas hijau’ yang memainkan peranan penting dalam menjana pendapatan peladang, mencipta peluang pekerjaan, memacu ekonomi kitaran, dan menyokong kelestarian alam sekitar, selari dengan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 dan agenda pembangunan mampan negara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Encik Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata, kerjasama itu dijangka meningkatkan pengeluaran produk pembungkusan terbiodegradisasi berjumlah 120 juta unit setahun untuk pasaran sektor perubatan, makanan, perindustrian dan elektronik.
#Chang Lih Kang #Kedah #sisa jerami padi #Malaysian Bioeconomy Development Corporation
;