Sisa bahan kimia Bukit Teh sedang dianalisis
Astro Awani
Mac 16, 2019 19:56 MYT
Mac 16, 2019 19:56 MYT
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang telah mengambil sampel bahan kimia yang ditemukan di ladang kelapa sawit di Bukit Teh, Bukit Mertajam dan dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengenal pasti jenis sisa buangan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata JAS hanya akan dapat mengenal pasti premis yang mungkin menghasilkan bahan buangan itu selepas ujian dijalankan.
Katanya, aduan berhubung pembuangan bahan kimia itu sedang disiasat dan pihaknya juga telah mengenal pasti pemilik tanah berkenaan dan merakam keterangannya.
Phee berkata kerja-kerja mengorek dan membersihkan kawasan tersebut juga telah dijalankan.
Katanya, sisa buangan bahan kimia itu dihantar ke premis yang dilesenkan untuk penstoran sementara sehingga siasatan kes berkenaan selesai.
Pada Jumaat, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mengesahkan terdapat pelbagai jenis bahan kimia dibuang di ladang kelapa sawit Bukit Teh sejak awal bulan ini.
Pengarah JBPM Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata berikutan penemuan itu, pihak JAS telah meminta bantuan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) JBPM untuk membuat pemeriksaan jenis bahan kimia berkenaan, namun tidak dapat dikenal pasti bahan kimia itu kerana ia telah bercampur antara satu sama lain.
#bahan buangan
#Bahan kimia Bukit Teh
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#Jabatan Kimia
#JBPM
#ladang kelapa sawit
#Phee Boon Poh
#sampel bahan kimia
#sisa buangan