Sisa arang batu, minyak sawit punca permasalahan kualiti Sungai Serdang

Bernama
April 13, 2023 17:56 MYT
Hee Loy Sian berkata hasil siasatan LUAS mendapati dua punca tersebut menyebabkan penurunan kualiti sumber air terlibat. - Gambar fail/ Astro AWANI/ Shahir Omar
SHAH ALAM: Pembuangan sisa arang batu dan minyak sawit dikenal pasti menjadi punca permasalahan kualiti sumber air terjejas di Sungai Serdang, Kapar dekat sini semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Hee Loy Sian berkata hasil siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati dua punca tersebut menyebabkan penurunan kualiti sumber air terlibat.
Beliau berkata punca insiden pertama disyaki disebabkan terdapat sisa arang batu dari premis stesen janakuasa elektrik yang mengalir ke dalam parit kawasan kampung dan seterusnya masuk ke Sungai Serdang.
"Siasatan LUAS mendapati aliran sisa arang batu tersebut berpunca daripada kebocoran di premis stesen janakuasa terlibat.
"Pemantauan LUAS di tapak mendapati kerja pembaikan dan pembersihan sisa arang telah dilakukan oleh pemilik stesen dengan kadar segera dan tiada lagi aliran yang mencemarkan dikesan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hee berkata siasatan LUAS di kawasan berhampiran turut menemukan aliran air berwarna putih memasuki Sungai Serdang.
"LUAS telah menjejaki punca aliran berwarna putih tersebut dan menemui punca daripada pembuangan sisa minyak sawit yang disyaki telah dibuang secara haram oleh individu yang tidak dikenal pasti menggunakan sebuah lori tangki.
"Pihak LUAS telah melakukan pensampelan dan sampel-sampel telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisa lanjut," katanya.
Katanya, LUAS telah menyelaraskan tindakan lanjut bersama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang serta Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi semakan dan verifikasi yang berkaitan dengan status pemilik tanah serta pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam berkaitan sisa yang dibuang secara haram bagi tujuan tindakan penguatkuasaan selanjutnya.
Tambahnya, insiden berkenaan tidak memberi kesan kepada bekalan air memandangkan tiada Loji Rawatan Air (LRA) berada di kawasan Sungai Serdang.
"Namun, LUAS sentiasa peka dan proaktif untuk memastikan keadaan sumber air negeri terutamanya sungai sentiasa terpelihara dan diambil tindakan segera.
"Kerajaan negeri dan LUAS menyeru kepada semua pihak terutamanya di musim perayaan yang bakal menjelang ini untuk memastikan segala aktiviti yang dilakukan tidak memberi kesan dan impak kepada sumber air yang menjejaskan operasi LRA serta bekalan air," menurutnya.
-- BERNAMA
#Sungai Serdang #pencemaran sungai #LUAS #sisa arang batu
;