Sirul sempat makan rendang hasil tangan ibunya di pertemuan kedua

T K Letchumy Tamboo
Mac 6, 2015 12:24 MYT
Bekas koporal polis, Sirul Azhar Umar, hari ini sempat bertemu dengan ibunya, Piah Samad sekali lagi, di Pusat Tahanan Imigresen Villawood, Sydney. - Gambar Fail
Bekas korporal polis, Sirul Azhar Umar, sempat bertemu dengan ibunya, Piah Samad buat kali kedua, di Pusat Tahanan Imigresen Villawood, Sydney hari ini.
Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar, yang turut serta dalam pertemuan itu memaklumkan pertemuan kali ini berlangsung hampir dua jam.
“Kami dapat makan bersama nasi dan rendang daging yang dimasak oleh ibu Sirul di tempat penginapan kami. Kelihatan begitu berselera Sirul makan menikmati juadah air tangan ibu yang melahirkannya itu.
“Saya berkesempatan untuk berbual panjang dengan Sirul. Semenjak kecil dia diasuh dengan didikan agar menjadi seorang yang berani dan tidak takut melainkan Allah. Atas sifat keberanian ini jugalah yang melayakkannya menyertai pasukkan elit polis yang memerlukan mereka yang berhati kering untuk mengambil serta menjalankan arahan tanpa soalan.
“Sirul rupanya pernah dianugerahkan khidmat cemerlang dalam perkhidmatan antara tahun 2000 atau 2001,” kata Mahfuz di dalam satu kenyataan.
Mahfuz berkata mereka akan melawat semula Sirul esok.
Pada 2 Mac, Piah Samad dan anak perempuannya Noriatin Umar, 37, telah bertolak ke Sydney bersama Mahfuz, Syed Azman dan tiga orang yang lain untuk menziarahi Sirul.
Mahfuz sebelum ini berkata kunjungan ini merupakan misi kemanusiaan untuk membawa seorang ibu yang sangat rindu untuk berjumpa dengan anaknya.
Sirul, 43, yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati setelah didapati bersalah membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu kini berada di pusat tahanan Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan di Sydney, Australia selepas ditangkap di Queensland pada 20 Januari berikutan amaran merah dikeluarkan Polis Antarabangsa, Interpol.
#Mahfuz Omar #Sirul
;