Sirul perlu mohon semakan hukuman mati – Saifuddin
Hilmi Malik
November 26, 2023 15:21 MYT
November 26, 2023 15:21 MYT
PUTRAJAYA: Usaha mengekstradisi bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar dari Australia tidak boleh dilaksanakan selagi tiada permohonan semakan hukuman mati terhadapnya dilakukan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara ini juga menyukarkan usaha untuk menyiasat dakwaan terhadap Sirul yang menerima RM1 juta bagi menutup mulut dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.
"Dalam kes Sirul, jika dia nak memanfaatkan ruang ini, memasuki semakan itu, harus dibuat oleh peguam beliau. Itu prosesnya.
"Setakat ini, kita belum menerima maklumat sama ada peguamnya ada mengemukakan semakan hukuman," kata Saifuddin.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar Kongres Nasional PKR 2023, di sini, pada Ahad.
Bekas anggota UTK itu menerusi wawancara bersama Al Jazeera mendakwa dijadikan sebagai ‘kambing hitam’ dalam permainan politik berkait dengan kes pembunuhan wanita Mongolia itu.
Sementara itu, Saifuddin berkata kerajaan hanya menerima permohonan semakan hukuman mati daripada bekas anggota UTK, Azilah Hadri yang disabitkan dengan kes sama.
Azilah dikatakan antara 1,060 banduan akhir yang membuat permohonan semakan terhadap hukuman mati itu.
Mengulas mengenai dakwaan Sirul menerima RM1 juta, beliau menyifatkan perkara itu hanya diketahui oleh Sirul sendiri.
"Berdasarkan kepada butiran perbicaraan, hal itu tidak dikemukakan tempoh hari, jadi ia kekal sebagai kenyataan daripada Sirul.
"Hanya dia boleh menjawab kenapa sekarang dibangkitkan, apakah tujuan sebenar dan sebagainya.
"Saya tidak mahu komen dan seperti rakan media, saya ikuti itu sebagai perkembangan terkini daripada Sirul," katanya.