Sirul masih dalam senarai notis merah Interpol - Pengarah JSJ
Hasimi Muhamad
November 24, 2023 13:30 MYT
November 24, 2023 13:30 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar, yang berdepan hukuman mati di Malaysia kerana membunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu masih di bawah notis merah Polis Antarabangsa (Interpol).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, notis merah berkenaan belum dibatalkan memandangkan pihak berkuasa masih berusaha membawa pulang Sirul ke Malaysia.
"Saya fikir apa yang diberitahu oleh Ketua Polis Negara adalah jelas. Kita masih berusaha (membawa pulang Sirul), mengkaji kaedah dan ia melangkaui (bidang kuasa) polis.
"Ketika ini ia di peringkat Jabatan Peguam Negara (AGC). Nama beliau (Sirul) masih disenaraikan di bawah notis merah Interpol," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman, SAC Datuk Mohamad Zainal Abdullah.
Hari ini, Sirul menerusi temu bual eksklusif dengan Al Jazeera English's 101 East dilapor merayu untuk meneruskan kehidupannya di Australia.
Sirul mendakwa, adalah berbahaya baginya untuk kembali ke Malaysia, selain memohon maaf kepada keluarga mendiang Altantuya.
Dia mendakwa tidak bertanggungjawab atas pembunuhan itu walaupun telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah tertinggi di Malaysia.
Sirul merupakan antara puluhan tahanan imigresen yang dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi Australia memutuskan bahawa penahanan imigresen tanpa had adalah menyalahi undang-undang.
Perkara itu sekali gus membatalkan keputusan 2004 bahawa bukan warganegara tanpa visa boleh ditahan selama-lamanya dengan syarat kerajaan berhasrat untuk mengeluarkan mereka secepat mungkin.
Australia tidak akan menghantar pulang Sirul ke Malaysia kerana undang-undang negara itu tidak membenarkan semua mereka yang berhadapan hukuman mati dihantar pulang ke negara asal mereka.
Altantuya ditembak di kepala pada 2006 di kawasan hutan di Puncak Alam, Selangor sebelum mayatnya diletupkan dengan bahan letupan.
Sirul dan bekas Cif Inspektor Azilah Hadri, disabitkan pada 2009 oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh Altantuya.
Azilah kini dijatuhkan hukuman mati di Penjara Kajang.