Ibu kepada bekas korporal polis Sirul Azhar Umar, Piah Samad, 72, menyifatkan keadaan di Australia lebih selamat untuk anaknya berbanding Malaysia, lapor The Sydney Morning Herald.

Dalam laporan media Australia itu, Piah berharap agar kerajaan Australia dapat memberi anaknya suaka politik dan perlindungan penuh.

Piah turut bercadang untuk melawat Pusat Tahanan Imigresen Villawood Sydney iaitu tempat di mana Sirul kini ditahan.

Ketibaan Piah di Sydney menimbulkan spekulasi di mana ada kemungkinan Sirul akan mendedahkan maklumat lanjut mengenai kes pembunuhan yang melibatkan model dan penterjemah, Altantuya Shaaribu, lapor The Sydney Morning Herald.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat Dr Syed Azman Syed, berkata beliau berharap pendedahan tersebut akan membuka mata dunia kelak untuk mengetahui siapa yang memberi arahan kepada Sirul untuk membunuh Altantuya.

“Ia telah menjadi satu persoalan besar kepada rakyat Malaysia untuk bertahun lamanya.

Dr Azman juga menafikan terdapat apa-apa motif poltik dalam menemani keluarga Sirul ke Australia.

“Ianya lebih kepada misi kemanusiaan,” jelas Azman.

Pada 2 Mac, Piah Samad dan anak perempuannya Noriatin Umar, 37, telah bertolak ke Sydney bersama Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar, Syed Azman dan tiga orang yang lain untuk menziarahi Sirul.

Mahfuz sebelum ini berkata kunjungan ini merupakan misi kemanusiaan untuk membawa seorang ibu yang sangat rindu untuk berjumpa dengan anaknya.

Sirul, 43, yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati setelah didapati bersalah membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu kini berada di pusat tahanan Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan di Sydney, Australia selepas ditangkap di Queensland pada 20 Januari berikutan amaran merah dikeluarkan Polis Antarabangsa, Interpol.

LIHAT KRONOLOGI KES PEMBUNUHAN ALTANTUYA