Sirul hanya boleh dibawa ke Malaysia jika ada permohonan semakan hukuman mati - KPN
Umavathi Ramayah
November 25, 2023 13:15 MYT
November 25, 2023 13:15 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menjelaskan Malaysia hanya boleh mengemukakan permohonan ekstradisi ke atas Sirul Azhar Umar yang disabitkan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu sekiranya bekas anggota polis itu membuat permohonan semakan ke atas hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya.
Beliau memberitahu, ini susulan perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (MLA) antara Malaysia dan Australia di mana negara itu tidak mengiktiraf atau tidak mengenakan hukuman mati ke atas pesalah jenayah di negara itu.
Menurutnya, Malaysia juga mempunyai MLA dengan banyak negara lain menerusi Mutual Assistance In Criminal Matters Act (MACMA 2002).
"Prinsip dual criminality (peruntukan hukuman kedua-dua negara) juga terpakai dalam akta ini. Ini bermaksud satu kesalahan mestilah menjadi kesalahan jenayah bagi kedua-dua negara yang juga membawa hukuman yang sama.
"Jadi hukuman mati yang dikenakan ke atas Sirul Azhar menyebabkan dia tidak dapat di ekstradisi ke Malaysia.
"Salah satu syarat perjanjian extradisi boleh dilaksanakan ialah kesalahan tersebut mestilah mempunyai dual criminality," katanya di sini, pada Sabtu.
Razarudin menjelaskan dalam konteks Malaysia, meskipun bukan mandatori, hukuman mati masih lagi wujud dan bergantung kepada budi bicara mahkamah.
"Ekoran itu, mana-mana pesalah jenayah yang dijatuhkan hukuman mati dan masih menunggu proses pelaksanaan hukuman tersebut, boleh dan diberi peluang untuk membuat permohonan kepada mahkamah untuk meminda dan merayu kepada hukuman mati tersebut.
"Jadi sekiranya Sirul berhasrat untuk balik ke Malaysia, dia atau peguamnya boleh membuat permohonan agar hukuman mati dipinda kepada hukuman lain seperti hukuman pemenjaraan.
"Sekiranya ini berlaku, barulah Malaysia boleh mengemukakan permohonan ekstradisi untuk beliau menjalani hukuman di Malaysia," jelasnya.
Bermula 4 Julai lalu,tiada lagi hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat di Malaysia susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846).
Melalui undang-undang itu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.
Pada 9 April 2009, mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap Sirul Azhar dan Azilah atas kesalahan membunuh Altantuya, bagaimanapun kedua-duanya memfailkan rayuan atas hukuman mereka.
Pada Februari 2012, permohonan rayuan mereka berlangsung selama tiga hari dan akhirnya pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan memerintahkan Azilah dan Sirul Azhar dilepas dan dibebaskan.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memfailkan rayuan atas keputusan itu di Mahkamah Persekutuan dan pendengaran rayuan berlangsung pada 23 Jun 2014.
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan kemudian sebulat suara menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Azilah dan Sirul Azhar selepas membenarkan rayuan pendakwaan, pada 13 Januari 2015.
Sirul Azhar meninggalkan Malaysia pada 2014 ketika kes itu masih lagi dalam rayuan, dan tidak pulang ketika hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan.
Sirul kemudian ditahan oleh pihak berkuasa Australia dan dasar negara itu adalah tidak menghantar pulang individu yang berdepan dengan hukuman mati di negara asal.