Sirul gagal dapat suaka politik, bakal diusir dari Australia

Agensi
Februari 20, 2019 16:03 MYT
Australia dijangka menangguhkan proses deportasi Sirul sehingga selepas Malaysia menghapuskan hukuman mati. - Polis Diraja Malaysia
Sirul Azhar Umar, bekas pengawal peribadi kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak akan diusir dari Australia selepas mahkamah Sydney minggu ini menolak rayuannya untuk mendapatkan suaka politik.
Sirul dijatuhi hukuman mati pada tahun 2015 selepas didapati bersalah dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Namun, Australia dijangka menangguhkan proses deportasinya sehingga selepas Malaysia menghapuskan hukuman mati.
Altantuya merupakan penterjemah dalam perjanjian $1 bilion Malaysia untuk membeli kapal selam Perancis, yang terbabit dalam pelbagai dakwaan rasuah dan sogokan.
Dia juga didakwa pernah mempunyai hubungan dengan Abdul Baginda Razak, orang kepercayaan Najib, yang ketika itu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Sirul dan seorang lagi pengawal, Azilah Hadri, dilaporkan menembak Altantuya beberapa kali di kepala di sebuah kawasan hutan di luar Kuala Lumpur pada tahun 2006.
Mereka kemudian meletupkan mangsa menggunakan bahan letupan gred tentera.
Azilah kini dipenjarakan, tetapi Sirul, bekas korporal polis, mempertahankan pengakuan tidak bersalahnya, dengan alasan dia hanya menurut arahan pihak atasan untuk menjalankan pembunuhan itu.
#Altantuya Shaariibuu #Australia #letupan #mahkamah #mangsa #Najib Razak #Perdana Menteri #polis #politik #Rasuah #Sirul Azhar Umar #Sydney
;