Sirul Azhar diburu Interpol

Haider Yutim
Januari 20, 2015 20:39 MYT
Sirul dikeluarkan notis merah dan dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia atas kesalahan membunuh.
Sirul Azhar Umar yang dijatuhi hukuman mati kerana disabitkan bersalah membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, kini telah dimasukkan dalam senarai individu dikehendaki oleh Polis Antarabangsa (Interpol).
Menurut laman Interpol, lelaki berusia 43 tahun itu dikeluarkan notis merah dan dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia atas kesalahan membunuh.
Notis merah Interpol bermaksud usaha mencari serta menangkap individu yang dikehendaki tersebut akan dilakukan oleh suatu bidang kuasa kehakiman atau tribunal antarabangsa, dengan tujuan untuk mengekstradisi.
Ekstrak daripada notis merah Interpol. Imej diperoleh dari laman www.interpol.int
Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari lalu, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang telah menjatuhkan dua anggota Unit Tindakan Khas polis hukuman gantung terhadap pembunuhan Altantuya.
Bagaimanapun Sirul dilaporkan tidak hadir ke Mahkamah Persekutuan pada hari tersebut kerana berada di luar negara, dipercayai di Australia.
Menurut sumber dia telah mengetahui tarikh penghakiman mahkamah ditetapkan namun dikatakan tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk pulang ke Malaysia.
#Altantuya #Interpol #Koperal #Merah #polis #senarai #Sirul Azhar
;