SIRIM lancar pensijilan, perkhidmatan ujian selimut api EV
Astro Awani
Februari 2, 2024 13:12 MYT
Februari 2, 2024 13:12 MYT
KUALA LUMPUR: SIRIM QAS International Sdn Bhd melancarkan pensijilan dan perkhidmatan ujian terbaharu untuk selimut api Kenderaan Elektrik (EV) pada Jumaat.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan perkhidmatan ujian dan pensijilan terkini adalah sebahagian daripada komitmen SIRIM untuk menyokong Garis Panduan Perancangan Pengecasan Kenderaan Elektrik Kerajaan seperti ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
"Kerana kita tahu banyak kebimbangan dari segi keselamatan yang perlu kita tekankan di mana dengan ada banyak kereta EV di pasaran.
"Kita nak galakkan supaya kesedaran mengenai keselamatan ini diuar-uarkan. Kita harap selimut api ini berada di semua rumah, di stesen pengecas, dan pejabat," katanya.
Beliau ditemui di sidang media majlis pelancaran di ibu pejabat SIRIM di Shah Alam memaklumkan salah satu faedah utama selimut api EV adalah keupayaan untuk menahan api dan mengurangkan pembebasan gas dan asap toksik.
"MITI komited untuk memastikan selimut api EV ini akan ada di pasaran serta menepati piawaian ditetapkan.
"Selimut api EV ini mampu bertahan pada suhu tinggi mencecah 1000 Celcius, dan ini dapat mengawal kebakaran pada kereta dan elak masalah menjadi lebih besar.
"Ini sekali gus dapat mengawal kebakaran, menghalang penyebaran pelepasan berbahaya dan menggalakkan persekitaran yang lebih selamat untuk orang ramai," katanya lagi.
Sementara itu, Zafrul memaklumkan ekosistem yang kukuh pada EV adalah kunci untuk menarik lebih banyak pelaburan berkaitan EV ke Malaysia, sejajar dengan misi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 untuk meningkatkan ekonomi negara.