SIRIM ESG Holistic Ecosystem percepat amalan ESG dalam industri

Bernama
November 8, 2024 08:30 MYT
Khairol Anuar (dua, kanan) dan Bahria (tengah) bergambar bersama ketika hadir pada Majlis Industri SIRIM 2024 dan Pelancaran Ekosistem ESG SIRIM di Petaling Jaya semalam. - Foto SIRIM
PETALING JAYA: SIRIM Berhad (SIRIM) melancarkan 'SIRIM ESG Holistic Ecosystem', satu inisiatif yang bertujuan menyokong dan mempercepat amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kalangan industri Malaysia, semalam.
Ekosistem berkenaan direka bagi memperkasakan perniagaan dalam mencapai matlamat kelestarian dan menyumbang secara bermakna kepada objektif alam sekitar negara dan global.
Pengerusi SIRIM Berhad Datuk Khairol Anuar Mohamad Tawi berkata, ia berfungsi sebagai penyelesaian penting dalam meletakkan Malaysia selaku peneraju dalam amalan yang lestari dan bertanggungjawab.
Beliau berkata ekosistem itu bukan sahaja mengenai pematuhan, tetapi juga tentang membolehkan industri berkembang maju pada skala global dengan menerima pertumbuhan dan inovasi yang mampan.
“Melalui pensijilan yang ketat, latihan dan keupayaan ujian lanjutan, peranan SIRIM melangkaui sekadar pensijilan; kami memberi kuasa kepada syarikat dengan ‘pasport untuk kemakmuran’, membolehkan mereka berkembang dalam pasaran yang menghargai integriti dan daya saing ESG.
"Melalui pelaburan dalam ekosistem ini, kami sedang mempersiapkan industri untuk berjaya di pasaran global dan dengan mengekalkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persaingan Dunia,” katanya ketika ditemui pada Majlis SIRIM Industri 2024 semalam.
Majlis bertemakan 'ESG: 50 Years of Change' itu adalah acara tahunan yang memberi tumpuan pada pengukuhan hubungan dan kerjasama antara SIRIM, industri dan agensi kerajaan serta mengiktiraf organisasi dan syarikat yang menerima pensijilan daripada 'SIRIM QAS International Sdn Bhd' pada 2023.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan dan Pengurusan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Bahria Mohd Tamil dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad Datuk Dr Ahmad Sabirin Ahmad.
Terdahulu dalam ucapannya, Khairol Anuar berkata, SIRIM sedang membantu MITI dalam pelaksanaan program 'Smart Tech Up' yang bertujuan menubuhkan 3,000 kilang pintar menjelang 2030.
“Sektor yang diberikan keutamaan ialah elektrik dan elektronik, kimia dan peranti perubatan, aeroangkasa dan farmaseutikal, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Khairol Anuar berkata, Garis Panduan Pusat Data SIRIM telah disiapkan dan diserahkan kepada MITI untuk pertimbangan.
Katanya, pusat data itu mempunyai jejak alam sekitar yang besar, justeru adalah penting untuk memastikan negara mengimbangi pelaburan pusat data dengan hasrat mencapai sifar bersih.
“Garis Panduan Pusat Data akan memastikan pusat data menangani aspek seperti teknologi penyejukan berkesan, mendapatkan tenaga daripada sumber boleh diperbaharui dan memaksimumkan kecekapan tenaga, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030,” tambahnya.
#ekosistem #pusat data #ESG #Sirim
;