Siri flotila terakhir sasar serah bantuan perubatan ke Gaza

Madiha Abdullah
Julai 15, 2018 22:16 MYT
Mohd Afandi menyifatkan misi kali ini penting bagi membuka mata masyarakat antarabangsa tentang keadaan Gaza yangs angat kritikal. - Astro AWANI
Aktivis Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh hari ini berlepas ke Palermo, Itali bagi menyertai misi solidariti flotila Right to a Just Future for Palestine anjuran Freedom Flotilla Coalition (FFC) ke Gaza.
Misi itu bertujuan membawa kelengkapan dan bekalan ubat-ubatan bagi membantu penduduk Palestin.
Sejumlah 24 kotak bekalan peralatan dan ubat-ubatan disumbangkan pelbagai pihak, antaranya daripada Hospital KPJ Ampang Puteri dan Hospital Pakar An-Nur.
"Kita telah dimaklumkan tentang halangan yang mungkin dihadapi, antaranya kemungkinan ditahan oleh Israel. Tetapi saya mengharapkan dengan tekanan antarabangsa ke atas Israel, kita akan dapat sampai ke bumi Gaza tanpa masalah. Ini misi keamanan, tidak melibatkan keganasan.
"Bagaimanapun, kami para peserta misi, telah melalui beberapa siri latihan, supaya kami lebih bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan," katanya ketika ditemui dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas, pada Ahad.
Mohd Afandi, yang juga merupakan Timbalan Dekan Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), menyifatkan misi kali ini penting bagi membuka mata masyarakat antarabangsa tentang keadaan Gaza yang kini sangat kritikal akibat serangan Israel dan permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan perubatan.
Siri terakhir flotila ini akan mengambil masa kira-kira sembilan hari dan dijangka tiba di perairan Gaza sebelum minggu terakhir Julai. Ia akan merentasi 13 pelabuhan utama dunia di 10 buah negara sebelum berakhir di Gaza.
Sebelum ini, 12 aktivis Malaysia telah berlepas ke beberapa negara, bersilih ganti menaiki kapal di beberapa lokasi berbeza.
#FFC #flotila #Freedom Flotilla Coalition #Gaza #Israel #mohd afandi salleh #MyCare #Palestin
;