SIP: Kerajaan belanja RM803,000 pada bulan pertama

Harits Asyraf Hasnan
Mac 8, 2018 12:03 MYT
Menurut Richard walaupun tempoh matang bayaran hanya akan bermula pada 2019, namun peruntukan kerajaan berjumlah RM122 juta telah membolehkan peserta menerima manfaat pada tempoh yang lebih awal. - Gambar fail
Sejumlah 1,336 peserta Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) telah menerima manfaat daripada inisiatif itu sejak dilaksanakan pada Januari sehingga 28 Februari lepas.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata walaupun tempoh matang bayaran hanya akan bermula pada 2019, namun peruntukan kerajaan berjumlah RM122 juta telah membolehkan peserta menerima manfaat pada tempoh yang lebih awal.
Katanya, pada Januari 2018 sahaja, Perkeso melalui SIP telah membayar faedah sebanyak RM802,800.
"Sebenarnya, tarikh matang bayaran atau faedah SIP adalah pada 1 Januari 2019, tetapi atas keprihatinan kerajaan BN (Barisan Nasional), peruntukan sejumlah RM122 juta diberi untuk memastikan bahawa sistem ini amat berkesan.
"Dengan peruntukan yang begitu banyak, sehingga 28 Februari lepas dan walaupun ia belum matang, Perkeso telah membayar RM600 selama tiga bulan kepada 1,336 pemohon yang telah diluluskan," katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) yang meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan apakah mekanisme yang digunakan oleh pihak Kementerian bagi memberikan penerangan yang jelas berkenaan SIP kepada majikan dan pekerja kerana skim yang sangat berfaedah ini sering kali disalah tafsir sebagai skim yang membebankan.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Kementerian Sumber Manusia sehingga 28 Februari lalu, seramai 2,471 orang telah memohon untuk menerima manfaat tersebut di mana 1,336 telah diluluskan dan menerima bayaran.
Tambahnya, mereka yang menerima manfaat tersebut bukan sahaja akan menerima alaun malah menjalani latihan berkaitan kemahiran dalam menggalakkan mereka memasuki semula industri pekerjaan.
#Dewan Rakyat #kerajaan #menteri #Menteri Sumber Manusia #pekerjaan #Richard Riot #SIP #Sistem Insurans Pekerjaan
;