Singtel nyata kesediaan bangunkan kampus pusat data di Johor - Onn Hafiz
Bernama
Julai 7, 2023 06:30 MYT
Julai 7, 2023 06:30 MYT
SINGAPURA: Singapore Telecommunications Ltd (Singtel), pengendali rangkaian mudah alih terbesar di Singapura menyatakan kesediaan untuk membangunkan kampus pusat data yang berteknologi terkini, mampan dan menggunakan teknologi hijau di Johor.
Ia dinyatakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam hantaran di laman Facebooknya pada Jumaat.
Onn Hafiz yang ketika ini berada di republik itu sejak 5 Julai bagi lawatan kerja selama tiga hari mengadakan sesi perjumpaan dan lawatan ke Singtel yang merupakan salah satu daripada empat syarikat telekomunikasi utama di Singapura.
"Insya-Allah, dengan kekuatan Singtel yang memiliki infrastruktur jaringan telekomunikasi berkualiti tinggi, kerajaan negeri optimis Singtel mampu memacu Johor membina ekosistem komunikasi dan pusat data terbaik di rantau Asia, seterusnya menjadikan negeri ini tumpuan dari segi pelaburan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy), dan juga teknologi kecerdasan buatan (AI)," katanya.
Menurutnya, Singtel merupakan syarikat keempat terbesar mengikut permodalan pasaran yang disenaraikan di Bursa Singapura (SGX).
Singtel adalah pengendali rangkaian mudah alih terbesar di Singapura, dengan 4.1 juta pelanggan, serta melalui anak syarikat lainnya mempunyai pangkalan pelanggan mudah alih lebih 775 juta pelanggan di lebih 20 buah negara, kata beliau dalam hantaran itu.
Pada Khamis, menteri besar itu berkata Maersk, syarikat pengangkutan maritim dan logistik global, telah menyatakan hasrat untuk melabur di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor, dengan potensi pelaburan yang signifikan.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Dr Badrul Hisham Kassim; Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Singapura, Vinothan Tulisinathzan; dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, Zarina Abdul Kadir. - BERNAMA