"Singsing lengan baju, bangun dari kerusi empuk" - Mesej Tun M kepada kerajaan
Astro Awani
Oktober 21, 2021 16:21 MYT
Oktober 21, 2021 16:21 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menginspirasi keyakinan, memberi arah yang jelas, kestabilan politik dan komited terhadap visinya dalam proses pemulihan COVID-19 ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan-tindakan itu seiring usaha untuk mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur, inklusif dan lestari.
"Kita berada di titik di mana 'buah mulut' dan idea setengah matang tidak boleh dan tidak akan diterima.
"Kami mengharapkan kerajaan 'menyingsing lengan baju' mereka, bangun dari tempat duduk yang empuk dan mulakan bekerja," tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup sempena Forum CEO 2021 Yayasan Kepimpinan Perdana secara maya pada Khamis.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Langkawi itu menggariskan tiga perkara penting yang perlu diberikan fokus oleh kerajaan pada waktu pemulihan ini.
Selain digitalisasi ekonomi, beliau turut menggesa kerajaan mementingkan sektor pendidikan serta arah tuju yang jelas dan kestabilan politik.
"Semangat rakyat Malaysia semakin lemah sejak dua tahun ini.
"Pelbagai sekatan pergerakan, SOP (prosedur operasi standard) yang mengelirukan, peningkatan jangkitan dan kadar kematian (COVID-19), semuanya telah mempengaruhi jiwa Malaysia.
"Daripada membawa kita keluar dari krisis, sebaliknya, kita diseret lebih dalam permasalahan ini," katanya.
Menurut Dr Mahathir, rakyat tidak akan keluar daripada permasalahan impak pandemik sekiranya kerajaan gagal untuk bertindak secara bersama dan berterusan membuat keputusan demi keuntungan politik.