'Singgah Berkias' pamer 100 karya seni pelajar UiTM, jualan amal bantu golongan sasaran

Aida Aziz
Julai 26, 2022 08:00 MYT
Datuk Rumaizi Baharin ketika hadiri pameran karya secara fizikal di ITIC akan berlangsung pada 15 hingga 22 Oktober depan. - Astro AWANI
IPOH: Sebanyak 100 karya seni pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak, kampus Seri Iskandar akan dipamerkan dalam program amal seni yang dinamakan Singgah Berkias.
Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), yang memberi ruang dan peluang kepada karya tersebut dipamerkan secara fizikal di Pusat Penerangan Pelancongan Ipoh (ITIC).
Menurut Rektor UiTM Perak, Prof. Dr. Md Yusof Hamid, karya berkenaan dihasilkan oleh para pelajar semester satu daripada Program Diploma Seni Landskap, yang mana hasil jualan karya itu akan diberikan kepada golongan sasaran.
Ujarnya lagi, kesemua 100 karya itu membabitkan penglibatan kira-kira 60 orang pelajar, yang bermula sejak tahun lalu.
"Hasil karya itu nanti akan disumbangkan kepada beberapa pihak seperti Projek Konservasi Tuntung di Bota, dana kepada pelajar UiTM kategori B40 yang memerlukan, contohnya kita akan berikan bantuan komputer serta makanan.
"Sudah tentu ramai pelajar yang terkesan akibat penularan COVID-19 selama dua tahun ini. Sumbangan akan turut diberikan kepada pengkarya yang akan menerima bahagian masing-masing daripada jualan ini.
"Pelancaran program ini adalah untuk menarik perhatian serta uar-uarkan kepada orang ramai untuk membeli karya ini secara virtual, dan dalam masa sama pihak MBI memberi ruang kepada UiTM untuk adakan pameran secara fizikal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) antara UiTM Cawangan Perak dan MBI di Dewan Azlan Shah, di sini pada Isnin.
Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, Ahli Majlis MBI, Abu Bakar Hussian serta Ketua Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi, Prof. Madya Norhafizah Abdul Rahman.
Jelas Md Yusof lagi, pameran karya secara fizikal di ITIC akan berlangsung pada 15 hingga 22 Oktober depan.
Bagaimanapun beliau berharap supaya semua karya tersebut dapat dijual dan menerima sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.
"Kita mengharapkan dalam tempoh dua bulan ini semua hasil karya terjual dan ketika pameran itu nanti sudah ada pembeli, hari ini kita lancarkan program ini secara virtual (maya) yang boleh diakses tidak lama lagi.
"Dalam platform maya yang dinamakan Singgah Berkias itu nanti, orang ramai boleh buat pembelian secara atas talian, setiap karya itu telah dinyatakan harganya.
"Kita sasarkan jualan itu kepada pihak hotel, Kerajaan Tempatan atau institusi yang berminat untuk beli hasil karya pelajar ini," katanya lagi.
Karya seni tersebut dijual bermula dengan harga serendah RM450 sehingga RM1,250. Kesemua karya telah melalui proses penilaian daripada pensyarah.
Terdahulu, dalam majlis itu, MoC yang dimeterai antara MBI dan UiTM cawangan Perak, kampus Seri Iskandar dilihat mampu memberi banyak manfaat secara menyeluruh.
Rumaizi berkata, antara fokus dalam memorandum ini adalah mengadakan program bersama untuk latihan, seminar, bengkel dan persidangan.
#Singgah Berkias #program amal seni #UiTM #pelajar
;