Singapura sita aset RM710 juta dalam siasatan berkaitan 1MDB

Astro Awani
Julai 21, 2016 21:27 MYT
Singapura sita aset RM710 juta dalam siasatan berkaitan 1MDB. -Gambar fail
Pihak berkuasa Singapura sudah menyita aset bernilai S$240 juta (RM710 juta) susulan siasatan membabitkan aliran dana 1MDB yang didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram.
Dalam satu kenyataan bersama oleh pihak berkuasa kewangan Singapura (MAS), Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Hal Ehwal Komersial berkata, aliran wang yang disiasat itu termasuk yang berkait Good Star Limited (Seychelles), Aabar Investments PJS Limited (BVI), Aabar Investments PJS Limited (Seychelles), dan Tanore Finance Corp (BVI).
MAS berkata ia sudah melakukan pemeriksaan ke atas Bank DBS, Standard Chartered dan UBS dan mendapati beberapa 'kegagalan kawalan' dalam ketiga-tiga bank itu, di samping 'kelemahan proses menerima penyimpan dan mengawal selia transaksi'.
"Terdapat juga kelewatan tidak wajar mengesan dan melaporkan transaksi," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas kenyataan Peguam Negara AS, Loretta Lynch yang memaklumkan bahawa beberapa individu didapati menyalahgunakan dana syarikat 1MDB dengan memasukkan sejumlah dana ke akaun bank peribadi mereka.
Lynch turut berharap dana yang disalahgunakan ini akan dibawa kembali ke Malaysia.
#Department of Justice #DoJ #jabatan keadilan #Loretta Lynch
;