Singapura serah kontrak kerja sivil pertama projek RTS

Bernama
November 26, 2020 06:46 MYT
LTA berkata pembinaan RTS itu dijadual bermula pada suku pertama 2021 manakala perkhidmatan penumpang pada akhir 2026. - Gambar fail
SINGAPURA: Singapura semalam menganugerahkan kontrak pertama daripada dua kontrak kerja-kerja sivil bagi pembinaan laluan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura kepada Penta-Ocean Construction Co Ltd yang membabitkan nilai sebanyak S$932.8 juta (S$1=RM3.03).
Menurut kenyataan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) republik itu di laman sesawangnya, kontrak itu meliputi pembinaan stesen laluan RTS Woodlands North, terowong dan bangunan Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Singapura.
Syarikat itu yang ketika ini terbabit dalam pembinaan stesen-stesen Bright Hill dan Orchard di Laluan Thomson-East Coast, sebelum ini melakukan kerja-kerja di stesen Woodlands North serta stesen Bendemeer Laluan Downtown.
LTA berkata pembinaan RTS itu dijadual bermula pada suku pertama 2021 manakala perkhidmatan penumpang pada akhir 2026.
Kontrak kerja-kerja sivil kedua projek tersebut yang merangkumi pembinaan jejambat laluan RTS, akan dianugerahkan pada suku pertama tahun depan.
RTS merupakan perkhidmatan rel menghubungkan Singapura dan Malaysia menerusi terminal di stesen Woodland North di Singapura dan terminal Bukit Chagar di Johor Bahru.
Ia mempunyai kapasiti sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap laluan tersebut.
Apabila siap kelak, RTS akan meningkatkan lagi aspek kesalinghubungan antara Singapura dan Johor Bahru selain mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.
-- BERNAMA
#Johor Bahru #Singapura #Imigresen #Malaysia #kastam #Sistem Transit Rapid #RTS #stesen #kontrak #Penta-Ocean Construction Co Ltd #kerja sivil
;