Singapura perlu kota janji kerana RRC juga akan dikenakan ke atas Thailand- Tiong Lai
Rahimah Abdullah
Januari 19, 2017 14:34 MYT
Januari 19, 2017 14:34 MYT
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berharap Singapura mengotakan janji untuk tidak mengenakan Caj Jalan Raya (RRC) terhadap kenderaan memasuki negara itu memandangkan Malaysia bersedia melaksanakan sistem sama di sempadan negara jiran lain.
Ia berikutan kenyataan negara itu sebelum ini yang sedia menarik balik pelaksanaan RRC di sempadan Malaysia-Singapura jika Malaysia melakukan mekanisme sama ke atas Thailand.
"Jadi seperti apa yang dijanjikan Singapura bahawa jika kita perkenalkan (RRC) di sempadan negara lain, maka mereka tidak akan mengenakan caj berkenaan," katanya dalam sidang media selepas berucap merasmikan Seminar mengenai Keretapi Berkelajuan Tinggi Perancis- Malaysia di sini hari ini.
Beliau pada masa sama mengulangi pendirian Malaysia bahawa negara ini tidak mendiskriminasikan Singapura kerana mengenakan RRC kepada kenderaan asing yang memasuki negara.
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita tidak bersikap diskriminasi terhadap kereta Singapura. Kita ingin memperkenalkan (RRC) di semua sempadan kita. Kita akan mula perkenalkannya di sempadan Thailand tidak lama lagi dalam tahun ini juga.
Tiong Lai berharap pelaksanaan RRC ke atas Thailand akan dapat dilakukan sebelum pertengahan tahun ini.
Sebelum ini, Singapura sedia menimbang untuk menarik balik cadangan mengenakan RRC ke atas kenderaan asing yang masuk ke negara itu jika Malaysia mengenakan caj sama ke atas Thailand.
Bermula 15 Februari, semua kereta dengan nombor pendaftaran asing yang hendak memasuki Singapura akan dikenakan RRC berjumlah S$6.40 (RM20) bagi sekali masuk jika mereka melalui Tuas atau Woodlands.
Caj RRC perlu dibayar bersama Permit Kemasukan Kenderaan (VEP), tol dan Sistem Kadar Bayaran Elektronik (ERP) sewaktu meninggalkan Singapura dari pusat pemeriksaan Tuas atau Woodlands.