Singapura namakan spesies orkid hibrid 'Dendrobium Mahathir Siti Hasmah'

Harits Asyraf Hasnan
November 12, 2018 11:23 MYT
Dr Mahathir (dua, kiri) bersama isteri, Dr Siti Hasmah (tiga, kiri) diiringi Hsien Loong (kiri) dan isterinya, Ho Ching (tiga, kanan) bergambar dengan Orkid yang diberi nama 'Dendrobium Mahathir Siti Hasmah' di The Istana hari ini. - BERNAMA
Kerajaan Singapura menamakan spesies orkid hibrid sempena nama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sempena lawatan rasmi mereka ke republik itu.
Dinamakan 'Dendrobium Mahathir Siti Hasmah', bunga orkid itu mempunyai kelopak yang berpintal selain bercirikan warna mahogani.
Dibahagian bawah bungan tersebut berwarna coklat kemerahan dengan margin putih dan dihujungnya pula berwarna ungu.
Tumbuhan itu tumbuh menegak sehingga 38cm dengan sekitar 14 hingga 20 kuntum setiap pokok, dengan kelebaran 5cm bagi setiap bunga.
Majlis penamaan orkid itu disaksikan oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan isteri, Ho Ching di The Istana hari ini.
Menerusi ciri-ciri bunga berpintal, ia memberi gambaran bahawa kedua-dua negara tidak pernah lekang isu-isu kontroversi, namun hubungan yang sekian lama terjalin itu tetap utuh sehingga hari ini.
Singapura mempunyai tradisi menanam pokok spesis orkid, iaitu bunga kebangsaan republik itu dan dinamakan sempena lawatan selebriti mahupun kenamaan ke negara itu.
Pada tahun 2009, Singapura turut menamakan hibrid Dendrobium Najib Rosmah selepas bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor melawat negara itu.
#Dendrobium Mahathir Siti Hasmah #Malaysia #orkid #Singapura