Singapura mungkin tidak benarkan masuk kenderaan asing mempunyai denda belum dijelaskan mulai 1 April

Bernama
Februari 1, 2019 00:03 MYT
Pemandu asing dinasihatkan supaya menyemak sama ada mereka mempunyai denda yang belum dijelaskan. - Bernama
Singapura mungkin tidak membenarkan kenderaan asing yang mempunyai sejumlah denda yang belum dijelaskan bagi kesalahan trafik, parkir atau pelepasan asap kenderaan daripada memasuki republik itu, mulai 1 April.
Menurut kenyataan bersama itu, kira-kira 60,000 kenderaan asing memasuki Singapura setiap hari.
"Kami memandang serius kegagalan mereka berbuat demikian. Untuk mengingatkan pemilik kenderaan asing untuk membayar denda yang belum dijelaskan, risalah telah diedarkan, dan papan iklan dipasang di tempat pemeriksaan darat.
"Polis trafik dan agensi kerajaan yang lain juga menjalankan operasi di pusat pemeriksaan darat untuk mengesan pemandu kenderaan terbabit supaya menjelaskan denda," kata kenyataan itu.
Walaupun langkah-langkah ini dilaksanakan, agensi itu berkata beberapa pemandu kenderaan asing terus mengabaikan denda yang belum dilunaskan.
"Untuk terus menghalang perlakuan sedemikian dan menguatkuasakan secara lebih berkesan terhadap mereka yang gagal membayar denda, kenderaan asing yang mempunyai denda yang belum dijelaskan bagi kesalahan berkaitan kenderaan mungkin tidak akan dibenarkan memasuki Singapura mulai 1 April 2019," kata mereka.
Untuk mengelakkan daripada tidak dibenarkan memasuki Singapura, pemandu asing dinasihatkan supaya menyemak sama ada mereka mempunyai denda yang belum dijelaskan untuk kesalahan berkaitan kenderaan dan menjelaskannya dengan segera.
Pemandu boleh membuat semakan bagi semua denda dengan melayari www.axs.com.sg.
Pembayaran denda boleh dibuat melalui empat saluran iaitu kios AXS, laman sesawang AXS dan aplikasi mudah alih AXS; laman sesawang agensi masing-masing; kaunter perkhidmatan pelanggan agensi masing-masing; dan Pejabat Pos SingPost (terpakai untuk semua agensi kecuali Polis Trafik).
Kenyataan itu menyatakan pemandu asing yang ingin mendapatkan penjelasan mengenai kesalahan mereka boleh menghubungi Lembaga Perumahan & Pembangunan di 1800 - 2255432 atau e-mel: hdbcarparks@mailbox.hdb.gov.sg; Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (1800 - 2255582); Agensi Alam Sekitar Nasional (6225 5632); Pasukan Polis Singapura (Polis Trafik) (6547 0000); dan Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar (6329 3434).
-- BERNAMA
#agensi kerajaan #denda #kenderaan asing #parkir #penguatkuasaan #polis trafik #Singapura #trafik
;